KUALA LUMPUR – China Press mendakwa mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dijadualkan berlangsung pagi esok (11 September) tidak akan membincangkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Menurut sumber yang dipetik portal itu, permohonan berkenaan pada asalnya dimasukkan dalam agenda mesyuarat, tetapi kini telah dikeluarkan.
Laporan itu turut menyebut bahawa sebelum ini timbul khabar angin Najib mungkin memperoleh pengampunan esok dan dibenarkan menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah, dengan kebebasan bergerak secara terhad.
Malah, terdapat dakwaan bahawa selepas memperoleh pengampunan, Najib akan dibawa terus dari Penjara Kajang ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO dan menerima sambutan daripada para perwakilan.



