Semua operasi perkhidmatan doktor udara ditangguh sementara – KKM

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan semua operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) ditangguhkan sementara bagi membolehkan siasatan dan semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi oleh pihak yang berkaitan.

Menteri Kesihatan Datuk Ser Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun, perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan akan terus dilaksanakan melalui kerjasama KKM dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pada masa sama, katanya, KKM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneroka usaha menggunakan aset ATM untuk pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dapat dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian.

“KKM akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak, termasuk aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.

“Penilaian ini bertujuan memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan adalah lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dzulkefly berkata, KKM sedang menilai semula lokasi dan kaedah akses perkhidmatan FDS, termasuk alternatif pengangkutan dan pendekatan lain yang selamat serta praktikal bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Jelasnya, KKM memahami kesulitan dan cabaran yang mungkin timbul susulan penangguhan sementara ini.

“Walau bagaimanapun, keselamatan petugas dan pesakit kekal menjadi keutamaan KKM, di samping memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

“KKM akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang awam sewajarnya,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat