KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros menegaskan Kerajaan Perpaduan yang dianggotai Umno ini hanyalah suatu titik persinggahan.
Kata beliau, persinggahan sementara mengumpul kekuatan.
“Ia bukan destinasi akhir. Kerana matlamat akhir kita adalah untuk kembali dominan dan mendominasi.
“Kita perlu terus bertegas bahawa kerjasama melibatkan Pakatan Harapan (PH) adalah bersifat sementara dan Umno tidak harus terikat dengan mana-mana parti di peringkat negeri mahupun Persekutuan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Agenda menyatu-padukan bangsa perlu diangkat sebagai hala tuju strategik parti menuju PRU16 dengan tawaran yang jelas, berprinsip dan diyakini oleh rakyat.
“Menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk menetapkan kerangka, strategi dan garis masa yang terbaik dalam merealisasikan agenda penyatuan ummah demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam ucapan pencadangan usul dasar Ketua Pemuda Umno pada Khamis.
Azleen mengingatkan, Umno perlu memposisikan dirinya dengan tawaran-tawaran yang menunjukkan Umno bersedia mentadbir dan menguruskan kembali negara
ini dengan lebih baik – daripada hari pertama diberi mandat.
“Umno perlu memenuhi jiwa dan sanubari majoriti rakyat. Yang semuanya hendak melihat semula tanah air yang tercinta ini, kembali diterajui oleh kekuatan politik orang Melayu yang bersatu, berwibawa dan diyakini.
“Umno tidak boleh lagi hanya berperanan sebagai pelengkap. Apatah lagi hanya sebagai pemanas kerusi.
“Umno perlu bersedia, dan mempersiapkan diri, untuk kembali dominan dan mendominasi.
“Menang secara mutlak, dengan mandat yang jelas dan tersendiri dalam PRU16 – itulah tujuan, dan itulah destinasi kita,” ikrar beliau.



