KUALA LUMPUR – Umno berikrar tidak akan memusnahkan institusi-institusi penting seperti Tabung Haji (TH), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dinodai dan musnah.
Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros berkata, dalam menelusuri denai-denai serta jalur-jalur menuju Pilihan Raya Umum (PRU), Pemuda Umno tidak boleh tunduk dengan mana-mana desakan, usaha jahat serta cubaan untuk mencemar dan memburukkan nama baik, imej dan kewibawaan parti itu.
“Tiada siapa dapat menyangkal fakta bahawa yang membidani institusi- institusi penting untuk bangsa dan ibu pertiwi seperti Tabung Haji, Felda, Mara dan lain-lain adalah Umno itu sendiri.
“Takkanlah sebagai ibu yang membidankan semua institusi ini, kita sanggup menodai dan membiarkan ianya rosak, musnah dan tergadai.
“Walaupun mungkin ada kelemahan dan kekurangan, kita bertekad untuk kita betulkan.
“Sebab tu Umno tidak pernah menolak dapatan dan cadangan RCI atau mana-mana teguran. Malah kita komited dan paling lantang untuk kita
sama-sama betulkan mana yang silap dan mana yang kurang,” katanya dalam ucapan pencadangan usul dasar Ketua Pemuda Umno di WTC Kuala Lumpur pada Khamis.
Menurut Noor Azleen, perkara yang diperjuangkan hari ini adalah keadilan.
“Yang kita bangkang hari ini adalah kezaliman.
“Manakala yang kita persoalkan hari ini sikap hipokrit dan kemunafikan yang dipertontonkan sang penguasa.
“Jadi Pemuda jangan goyah. Jangan gentar. Walau setinggi mana badai yang akan datang melanda, patah sayap bertongkat paruh.
“Umno ini kita akan pertahankan sampai mati,” tegas beliau.



