KUALA LUMPUR — Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung desas-desus beberapa pemimpin kanan UMNO akan ditangkap dan ditahan selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Menjawab soalan wartawan mengenai perkara itu, Ahmad Zahid berkata UMNO tidak mempunyai sebarang halangan untuk memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat bukti kukuh untuk tindakan pendakwaan, namun proses siasatan perlu dilaksanakan secara adil dan telus.
“Saya tidak mendapat maklumat rasmi lagi mengenai perkara itu. Tetapi pendirian kami ialah bahawa jika ada bukti-bukti yang kukuh untuk pendakwaan dilakukan, kita tidak ada sebarang halangan untuk memberikan kerjasama kepada SPRM untuk melakukan pendakwaan.
“Tetapi lazimnya sebelum pendakwaan itu dilakukan, tentunya ia dimulakan dengan siasatan, dan siasatan itu hendaklah dibuat secara adil dan telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media mengenai dakwaan bahawa pemimpin kanan UMNO akan ditangkap dan ditahan selepas PAU 2026.
Ahmad Zahid menegaskan pendirian UMNO adalah jelas bahawa sebarang tindakan penguatkuasaan perlu berasaskan bukti kukuh, selain memastikan proses siasatan dijalankan secara adil dan telus.



