Zahid akan jumpa Ismail, mahu penjelasan isu dipaksa tandatangan dokumen Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR — Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka bertemu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu didesak menandatangani Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ahmad Zahid berkata pertemuan itu akan diadakan pada bila-bila masa sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2026 berlangsung, memandangkan beliau mahu mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung latar belakang kenyataan yang dibuat mengenai dokumen berkenaan.

“Ya, beliau pastinya akan bertemu dengan saya ketika Perhimpunan Agung ini diadakan dan penjelasan akan dibuat oleh beliau, dan saya akan bertanya latar belakang mengenai kenyataan beliau itu, ya.

“Perhimpunan Agung telah bermula. Bila-bila masa saya akan memberikan waktu untuk bertemu dengan beliau. Jadi saya akan mendapatkan penjelasan daripada beliau mengenai perkara tersebut dan latar belakang kepada kenyataan yang telah dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Laman Media, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, beliau sendiri tidak berada dalam majlis atau ketika proses penandatanganan dokumen tersebut dilakukan, justeru tidak dapat memberikan penjelasan mengenai dakwaan yang timbul berhubung perkara itu.

“Saya tidak jelas mengenai perkara itu sebab saya tidak berada dalam majlis ataupun ketika tanda tangan itu dilakukan.

“Saya tidak berada di situ dan tidak menyaksikan sendiri proses penandatanganan berkenaan, sebab itu saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan atau kesimpulan mengenai perkara yang saya sendiri tidak saksikan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya tidak mempunyai pengetahuan rasmi mengenai perkara berkenaan dan sebelum ini telah menyerahkan kepada pihak yang menyediakan, menyaksikan serta menyimpan dokumen tersebut untuk memberikan penjelasan.

Beliau berkata pertemuan dengan Ismail penting bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara yang berlaku serta latar belakang kepada kenyataan yang telah dibuat berhubung penandatanganan dokumen berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat