KUALA LUMPUR – Penyatuan ummah bukan sekadar soal politik, tetapi soal masa depan negara.
Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan, penyatuan ummah yang dibina hari ini bukan untuk kepentingan mana-mana pihak semata-mata, tetapi demi kebaikan negara dan masa depan rakyat Malaysia.
“Kita mungkin datang daripada parti, warna dan latar yang berbeza. Namun apabila melibatkan kepentingan rakyat dan negara, mesti ada keberanian untuk duduk bersama, berbincang dan mencari titik persamaan.
“Kerana akhirnya, penyatuan ummah yang kita bina ini bukan untuk kepentingan mana-mana pihak semata-mata, tetapi demi kebaikan negara dan masa depan rakyat Malaysia.
“Berbeza wadah, tetapi negara yang kita mahu jaga tetap sama,” katanya usai memenuhi jemputan Pemuda Umno menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 di WTC Kuala Lumpur pada Khamis.
Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menghargai silaturahim dengan Pemuda Umno.
“Terima kasih sahabat-sahabat Pemuda Umno atas pemberian cenderahati hari ini. Datang memenuhi jemputan, balik sekali dengan buah tangan.
“Yang paling penting bukan nilai pemberian tu, tapi tanda persahabatan dan hubungan yang kita sama-sama jaga.
“Moga silaturahim ini terus baik, dan apa juga ruang yang ada dapat kita manfaatkan untuk kebaikan agama, rakyat dan negara.Terima kasih brother! ucap Afnan.


