KUALA LUMPUR – Kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kerja khusus untuk menangani masalah jenayah scam (penipuan) meliputi scam (penipuan) dalam panggilan telefon dan juga penipuan melalui platform atas talian, demikian menurut Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata jawatankuasa kerja itu sudah mengadakan beberapa siri perbincangan dan beliau akan membawa nota perbincangan ke peringkat Jemaah Menteri untuk memaklumkan beberapa keputusan hasil perbincangan berkenaan.
“Jawatankuasa ini unik kerana buat pertama kalinya ia disertai oleh bank-bank komersial dan penglibatan syarikat telekomunikasi (telko) termasuk satu daripada platform aplikasi atas talian iaitu Tiktok.
“Mereka buat pertama kali akan meneliti sama ada, ada kelompangan dalam undang-undang ataupun kerjasama antara agensi termasuk Jabatan Peguam Negara, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan pihak yang terlibat dalam proses siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan acara M360 Asean GSMA di ibu negara hari ini.
Fahmi berkata tidak lama lagi, beliau akan membentanhkan ke Kabinet dan kemudian akan memaklumkan hasil kerja dari jawatankuasa berkenaan.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya Fahmi mendedahkan dari 1 Januari 2025 hingga 31 Ogos 2026 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah membuat lebih 1 juta permohonan untuk memadam kandungan kepada platform aplikasi atas talian dan kadar pematuhannya ialah kira-kira 93 peratus.
“Dalam isu ini, masih terdapat kira-kira 65,000 kandungan masih belum dipadamkan susulan daripada permohonan MCMC, dan hampir 91 peratus kandungan yang dipadamkan ialah dari scam dan judi haram atas talian,” katanya.
Sejak Disember 2024, ada empat operasi diadakan secara besar-besaran di Malaysia menyasarkan bahan jenayah melibatkan pemilikan dan pengedaran bahan kesalahan penderaan seksual ke atas kanak-kanak, katanya.
“Dalam operasi ini sebanyak 117 tangkapan di buat di 162 lokasi berjaya menemui 1.47 juta fail digital dan kira-kira 200,000 fail disahkan bahan melibatkan jenayah penderaan seksual kanak-kanak,” katanya.
M360 ASEAN 2026 adalah acara teknologi dan telekomunikasi peringkat tinggi terbaharu yang dianjurkan oleh GSMA bertindak sebagai lanjutan peringkat serantau bagi acara tahunan Kongres Dunia Mudah Alih (WMC) yang lebih besar.
Ia merupakan penjenamaan semula dan evolusi daripada siri M360 Asia Pasifik (APAC) yang terdahulu yang strukturnya telah diubah suai untuk memberikan fokus penuh kepada transformasi digital, kawal selia dan keutamaan infrastruktur bagi rantau negara-negara Asia Tenggara.
M360 ASEA yang diadakan di ibu negara dianjurkan oleh GSMA dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan transformasi digital ternmasuk 5G dan kecerdasan buatan (AI).



