KUALA LUMPUR – ASEAN perlu bertindak serius dalam menangani isu jerebu rentas sempadan dan menambah baik mekanisme sedia ada bagi menangani masalah yang memberi kesan kepada kehidupan serta kesihatan orang ramai.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mekanisme ASEAN sedia ada dalam menangani isu jerebu rentas sempadan masih mempunyai ruang untuk ditambah baik, khususnya dari aspek keberkesanan tindakan.
Anwar berkata, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana pencemaran udara akibat jerebu memberi kesan kepada kehidupan manusia, terutama golongan kanak-kanak dan bayi.
“(Mekanisme) itu ada ruang untuk penambahbaikan. Saya fikir menteri-menteri ASEAN mesti melihat perkara ini secara serius kerana ia menjejaskan kehidupan, khususnya kanak-kanak dan bayi.
“Kita telah melihat keadaan di Serian, Sarawak dan ia amat membimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), lapor Utusan di Putrajaya pada Selasa.
Anwar berkata, negara-negara ASEAN perlu meneliti pendekatan yang lebih berkesan bagi memastikan isu jerebu rentas sempadan dapat ditangani secara bersama dan tidak berulang sehingga menjejaskan rakyat negara terbabit.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sekiranya terdapat syarikat Malaysia yang didapati terbabit dalam aktiviti pembakaran di Indonesia, Malaysia tidak akan mempertahankan pihak berkenaan.
Katanya, Indonesia wajar diberi ruang untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat yang terbukti terlibat dalam aktiviti pembakaran.
“Kalau ada syarikat Malaysia yang terlibat, kita beri ruang Indonesia ambil tindakan. Pejabat kita tentunya kalau berlaku di sana, tindakan di sana dan kita tidak mempertahankan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab perlu dilaksanakan berdasarkan bukti dan bidang kuasa negara berkenaan bagi memastikan punca jerebu dapat ditangani dengan berkesan.
Setakat ini, sebanyak 40 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Jerebu di Malaysia ketika ini berpunca daripada asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di wilayah Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, yang dibawa oleh tiupan angin merentasi sempadan.



