Oleh Zihan Zari
KANGAR – Seramai 124 orang siswa guru Tahun 1, Semester 1, Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis menerima manfaat menerusi Program Wacana Penulisan Antologi Skrip Drama Kanak-Kanak yang telah berlangsung di Dewan Pulai dan Dewan Berunai, IPG Kampus Perlis, dekat sini baru-baru ini.
Program ini anjuran Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Perlis dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara telah disempurnakan oleh Pengarah IPG Kampus Perlis, Dr. Hjh. Amani Dahaman@Dahlan.
Perkongsian ilmu menerusi wacana ini telah disampaikan oleh Munsyi Sastera, Mohd Zulkamal Ismail atau lebih dikenali sebagai Joe K.A.S yang juga penggiat seni teater tersohor di utara tanah air dan beliau sudah banyak terlibat dalam pelbagai produksi teater.
Joe K.A.S berkata, program ini amat baik dalam melahirkan penulis-penulis muda dalam bidang penulisan skrip drama pentas kanak-kanak, selain memberi ruang kepada bakal guru dalam mengasah bakat dan dapat menambah nilai diri.
Katanya, program sebegini memberi ruang kepada peranan munsyi dewan sastera dalam memartabatkan sastera di peringkat IPG khasnya.
Dalam pada itu, Ketua Unit Kesusasteraan dan Kebudayaan, Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Perlis, Dr. Roziah Hj. Ramli berkata program ini memberikan impak positif kepada pelajar melalui pendedahan ilmu dan pengalaman daripada Munsyi Sastera, Zulkamal.
Dr. Roziah yang juga penyelaras program menjelaskan perkongsian yang disampaikan oleh Zulkamal berjaya memperkukuh pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam menghasilkan skrip yang kreatif, sesuai dengan dunia kanak-kanak serta mempunyai nilai pendidikan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada DBP Wilayah Utara atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Semoga kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kelangsungan pendidikan secara autentik dan memberi pengalaman secara langsung kepada bakal guru, ”katanya.
“Program ini sangat menarik dan bermanfaat kerana kami bukan sahaja belajar tentang penulisan skrip drama kanak-kanak, tetapi juga mendapat pendedahan secara langsung daripada pihak DBP, ”kata peserta program Nur Insyirah Zakaria.
Katanya, perkongsian yang diberikan banyak membantu mereka memahami bagaimana menghasilkan skrip yang sesuai dengan dunia kanak-kanak dari segi bahasa, jalan cerita dan kreativiti.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan kerana ia sangat membantu kami sebagai bakal guru untuk menghasilkan bahan pembelajaran yang lebih kreatif dan menarik, ”katanya lagi.
Nur Danielea Tasnim Azrul Hisham merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Perlis dan DBP atas penganjuran program ini.
Nur Danielea Tasnim berkata, program ini sangat menarik dan bermanfaat kerana telah memberikan pendedahan yang jelas tentang teknik penulisan skrip drama kanak-kanak yang kreatif, sesuai dan berkesan.
“Perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Munsyi Sastera, Zulkamal amat menarik serta membantu saya memahami dengan lebih mendalam aspek bahasa, cara untuk merangka jalan cerita dan pembinaan watak drama yang sesuai untuk kanak-kanak.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan malah meningkatkan kreativiti kami sebagai bakal guru dalam menghasilkan bahan pembelajaran yang lebih menarik dan berkualiti untuk kanak-kanak, ”ujarnya.
“Bengkel ini memberi pengalaman yang cukup bermakna kepada saya kerana saya dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana sesebuah skrip drama dibentuk dari awal sehingga boleh dipersembahkan,”kata Muhamad Harith Hamzi Abdullah.
“Perkongsian yang disampaikan oleh Munsyi Sastera, Zulkamal membuka pemahaman saya tentang pentingnya memilih idea, membina watak dan konflik serta menghasilkan dialog yang bersesuaian dengan pemikiran kanak-kanak.
“Saya juga mendapat inspirasi untuk menghasilkan cerita yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi mempunyai mesej dan nilai yang boleh diterapkan kepada kanak-kanak.
“Bengkel ini sememangnya memberi pendedahan yang berguna kepada saya sebagai bakal guru, khususnya dalam menghasilkan aktiviti pengajaran Bahasa Melayu yang lebih kreatif dan menyeronokkan, ”katanya lagi. – SUARA.TV



