KUALA LUMPUR – Bukit Aman telah menghubungi Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan pada 2014.
Setiausaha politik Presiden Pas itu Syahir Sulaiman mengesahkan polis sudah menghubungi pihaknya berhubung perkara itu.
“Tuan Guru (Hadi) telah dimaklumkan dan sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Tarikh dan masa akan ditentukan,” kata Ahli Parlimen Bachok itu dalam kenyataan yang dipercayai merujuk proses merakam keterangan Hadi lapor FMT pada Isnin.
Ahad lalu, tiga laporan polis dibuat berhubung dakwaan Hadi itu oleh tiga pemimpin PKR Bandar Tun Razak di Balai Polis Cheras.
Mereka ialah Naib Ketua PKR Bandar Tun Razak V Jonathan, Ketua Wanitanya Mazlina Osman dan Timbalan Ketua Pemuda Amarul Hisham Jalil.
Ketua Polis Daerah Cheras Mohd Rosdi Daud dilaporkan mengesahkan menerima laporan berkenaan dan berkata ia akan dirujuk kepada polis Wangsa Maju.
Hadi pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72, Sabtu lalu mendakwa parti itu pernah ditawarkan pihak asing untuk menjatuhkan kerajaan ketika lawatan bekas presiden AS, Barack Obama ke Malaysia pada 2014.
Menurut Hadi, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang merupakan setiausaha politiknya ketika itu pergi ke kedutaan berkenaan bagi mengadakan pertemuan.
Bagaimanapun, perkara itu kemudian dinafikan Kedutaan AS di Kuala Lumpur dengan menegaskan negara itu tidak pernah berusaha untuk menentukan siapa yang memimpin Malaysia.



