KUALA TERENGGANU – Seekor Harimau Malaya betina dikenali sebagai Yong Choh kembali mengaum di alam liar selepas dilepaskan semula ke habitat semula jadinya di Taman Negara Terengganu, Tasik Kenyir.
Pelepasan itu mencatat sejarah apabila Yong Choh menjadi Harimau Malaya liar yang diselamatkan daripada konflik manusia dan hidupan liar, menjalani proses rehabilitasi sebelum dilepaskan semula secara saintifik dan terancang ke habitat semula jadi.
Majlis pelepasan berkenaan disempurnakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sempena Majlis Perasmian Tongkang Pemindahan Hidupan Liar dan Pelepasan Hidupan Liar di Tasik Kenyir.
Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Yong Choh yang dianggarkan berusia tujuh tahun ditangkap di Kampung Choh, Sungai Siput, Perak pada 22 Julai lalu susulan konflik manusia dan hidupan liar.
Harimau berkenaan kemudiannya ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak bagi menjalani proses rehabilitasi dan pemeriksaan kesihatan.
Pemeriksaan itu merangkumi pemeriksaan veterinar, persampelan darah dan saringan penyakit sebelum Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengesahkan Yong Choh berada dalam keadaan sihat dan sesuai dilepaskan semula ke habitat asal.
Selain Yong Choh, seekor gajah yang pernah terlibat dalam konflik manusia dan hidupan liar turut dilepaskan semula ke habitat semula jadi menerusi program berkenaan.
NRES berkata, langkah itu merupakan sebahagian strategi PERHILITAN untuk memperkukuh usaha pemuliharaan Harimau Malaya dan Gajah Asia, selain membantu meningkatkan populasi hidupan liar di habitat asal.
Program pelepasan semula itu juga penting bagi mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar serta meningkatkan kepelbagaian genetik populasi spesies berkenaan.
Antara spesies lain yang pernah dilepaskan PERHILITAN ke habitat semula jadi ialah Harimau Kumbang, Rusa Sambar, kijang, tenggiling, Musang Pandan, pelanduk dan napuh.
Dalam majlis sama, Arthur turut merasmikan tongkang pemindahan hidupan liar yang akan digunakan bagi operasi pemindahan dan pelepasan spesies bersaiz besar khususnya gajah.
Tongkang berkenaan dinamakan Ele Max, mengambil inspirasi daripada nama saintifik Gajah Asia, Elephas maximus, dan Tasik Kenyir.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) NRES, Datuk Khalid Mohamed dan Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.



