N.U.R@Wanita memperkasa wanita dalam advokasi nuklear

Oleh Zihan Zari

CYBERJAYA – Program Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R)@Wanita bukan sekadar program pendedahan sains, malah menjadi platform untuk memperkasa wanita, keluarga dan komuniti dengan pengetahuan mengenai aplikasi teknologi nuklear dalam kehidupan seharian, sekali gus membina kefahaman dan keyakinan masyarakat terhadap manfaat teknologi nuklear, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datin Safida Zalma Mohd Piah.

Teknologi nuklear telah dimanfaatkan secara aman dan selamat dalam pelbagai bidang yang dekat dengan kehidupan kita, termasuk perubatan, pertanian, makanan, perindustrian, pembuatan, keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Advokasi Nuklear: N.U.R @Wanita di Rekascape, Cyberjaya 2 dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin; Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), Hjh. Noraishah Pungut; dan Senior Vice President Bioeconomy Development Corporation (BEC), Azwar Abdul Aziz.

Safida Zalma berkata N.U.R @Wanita memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan literasi dan kefahaman masyarakat terhadap penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab di samping menangani persepsi dan salah faham yang mungkin masih wujud dalam kalangan masyarakat.

“Pemilihan wanita dalam program ini sebagai kumpulan sasaran utama sebagai satu langkah yang amat bermakna. Wanita memegang peranan luar biasa dalam keluarga dan masyarakat. Seorang ibu, misalnya, bukan sekadar pengurus keluarga, tetapi idola pertama anak-anak.

“Pengaruh ibu inilah yang mencorakkan pemikiran generasi muda untuk mencintai ilmu, sains, dan teknologi,”katanya.

Katanya lagi, sains ada di sekeliling kita. Teknologi juga ada dalam kehidupan kita. Dan setiap daripada kita mempunyai peranan untuk membina masyarakat yang lebih celik sains dan teknologi khususnya berkaitan nuklear.

“Pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) sebenarnya tidak terhad di bilik darjah, sebaliknya boleh diserapkan secara santai melalui permainan, perbualan mesra, serta aktiviti harian bersama anak-anak seperti memasak.

“Pendekatan praktikal sebegini terbukti lebih berkesan dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap sains, ”ujarnya.

“Dalam konteks pembangunan negara pula, kita mahu lebih ramai wanita dan anak-anak perempuan melihat bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai satu ruang yang terbuka luas untuk mereka.

“Kita mahu mereka tahu bahawa bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik bukan hanya untuk mereka yang dianggap ‘pandai sains’. Malahan ia adalah untuk sesiapa sahaja yang mempunyai rasa ingin tahu, keberanian untuk mencuba dan kesediaan untuk terus belajar.

“Kita mahu anak-anak kita atau generasi muda bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi suatu hari nanti menjadi pencipta, penyelidik, jurutera, saintis, inovator dan pemimpin teknologi negara. Mungkin, antara anak-anak yang hadir pada hari ini akan ada yang suatu hari nanti menjadi seorang saintis nuklear, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, dalam dunia yang dipenuhi dengan pelbagai maklumat, termasuk maklumat yang tidak tepat, masyarakat memerlukan keupayaan untuk membezakan antara fakta, persepsi dan salah faham, teknologi nuklear juga tidak terkecuali.

“Program advokasi nuklear bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi membina kefahaman dan kepercayaan masyarakat terhadap sains, teknologi dan inovasi. Kita mahu sains menjadi sesuatu yang boleh diakses oleh semua, tidak kira umur, latar belakang atau bidang pekerjaan.

“Daripada pelajar sekolah kepada ibu bapa, daripada golongan profesional kepada komuniti dan daripada mereka yang sudah mempunyai pengetahuan sains kepada mereka yang baru pertama kali mengenali teknologi nuklear.

“Program N.U.R@Wanita merupakan antara contoh bagaimana aspirasi tersebut kita terjemahkan melalui pendekatan yang dekat dengan rakyat yang membawa ilmu, teknologi dan inovasi terus kepada masyarakat, ”tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata usaha Agensi Nuklear dalam memperkasa advokasi sains, teknologi dan inovasi, khususnya dalam mendekatkan teknologi nuklear kepada masyarakat.

Beliau berkata, Program N.U.R@Wanita merupakan salah satu wadah yang ruang wacana sains dan teknologi nuklear yang dirangka untuk mendekatkan teknologi nuklear kepada masyarakat, khususnya golongan wanita melalui pendekatan yang lebih santai, interaktif dan mesra komuniti.

Katanya, melalui pelbagai aktiviti yang disediakan pada hari ini, kita ingin memperkenalkan teknologi nuklear bahawa teknologi ini mempunyai pelbagai aplikasi yang memberi manfaat kepada kehidupan seharian serta menyumbang kepada pembangunan negara.

“Saya percaya pendekatan yang santai, interaktif dan dekat begini jadi satu kaedah yang berkesan untuk meningkatkan kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi nuklear.

“Program ini diharap dapat terus menarik minat dan memperkasa golongan wanita dalam bidang sains, teknologi dan inovasi umumnya, dan di dalam bidang teknikal yang melibatkan nuklear khususnya.

“Usaha membawa teknologi nuklear lebih dekat kepada rakyat bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja. Ia memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak, termasuk kementerian, agensi, industri, institusi pendidikan, komuniti dan masyarakat, ”katanya lagi.

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti interaktif dan berasaskan pengalaman turut disediakan untuk peserta daripada pelbagai peringkat umur, termasuk Cabaran Inovasi Masakan Ubi Kayu Nuklear, STEM Escape Room, pertandingan mewarna, sesi perkongsian N.U.R serta pameran produk dan perkhidmatan Nuklear Malaysia.

Aktiviti-aktiviti ini dirangka untuk pelbagai peringkat umur bagi menjadikan penerokaan sains dan teknologi nuklear lebih mudah difahami, menarik dan dekat dengan kehidupan seharian.

Program N.U.R@Wanita mendapat kerjasama rakan strategik, BEC serta sokongan rakan pelaksana daripada Atom Malaysia dan Pusat Sains Negara (PSN) yang menyumbang kepakaran masing-masing dalam aspek bioekonomi, kawal selia keselamatan nuklear dan pendekatan sains interaktif kepada masyarakat.

Program ini turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk Women in Nuclear (WiN), wakil Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) di peringkat MOSTI, jabatan dan agensi di bawahnya serta komuniti setempat. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat