SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Haji Ismail Lasim tidak mengulas secara khusus dakwaan Undang Yang Empat bahawa beliau telah menandatangani proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, sebaliknya menegaskan sokongan penuh dan taat setia kepada baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan ringkas hari ini, Ismail berkata beliau mengambil maklum kenyataan media Undang Yang Empat yang dikeluarkan semalam.
“Apa jua pandangan YTM Undang Yang Empat adalah hak mereka. Fokus saya kini adalah menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.
Ismail kemudian menegaskan pendirian beliau dan pentadbiran kerajaan negeri terhadap Tuanku Muhriz.
“Saya bersama Kerajaan Negeri menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan Menteri Besar itu tidak menjawab secara khusus dakwaan Undang Yang Empat bahawa beliau sendiri telah menandatangani dan melengkapkan Surat Cara Proklamasi di bawah Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) pada 3 Ogos lalu.
Menurut kenyataan Undang Yang Empat semalam, Ismail didakwa menandatangani surat cara berkenaan ketika mengadap Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar di Istana Laguna Biru, Port Dickson.
Undang Yang Empat turut menyatakan mereka telah menandatangani proklamasi dan menurunkan cop mohor masing-masing pada 19 April lalu bagi mengisytiharkan penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Susulan tandatangan Menteri Besar yang didakwa dibuat pada 3 Ogos itu, Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin memutuskan proklamasi berkenaan perlu dikuatkuasakan serta-merta demi memelihara kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.
Mereka turut menuntut Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan serta semua anggota pentadbiran kerajaan negeri mematuhi proklamasi tersebut dengan serta-merta.
Kenyataan Ismail hari ini sekali gus memperlihatkan percanggahan pendirian yang ketara dengan kenyataan Undang Yang Empat semalam, khususnya mengenai kedudukan Tuanku Muhriz dan dakwaan bahawa Menteri Besar sendiri telah melengkapkan proklamasi penurunan takhta berkenaan.


