Pemerintah Bersama Negeri Sembilan dakwa MB sudah tandatangani proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz

SEREMBAN – Pemerintah Bersama Negeri Sembilan mendakwa Menteri Besar, Dato’ Ismail Lasim telah menandatangani proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan kini menuntut pentadbiran kerajaan negeri mematuhinya.

Dalam hebahan media segera Sekretariat Undang Yang Empat hari ini, mereka secara khusus menuntut Setiausaha Kerajaan Negeri mematuhi proklamasi yang didakwa telah ditandatangani Ismail pada 3 Ogos lalu di Istana Laguna Biru, Port Dickson.

Kenyataan bertarikh 5 September itu ditandatangani oleh YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak, Undang Luak Sungei Ujong; YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Haji Maarof bin Haji Mat Rashad, Undang Luak Jelebu; YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed bin Haji Abdullah, Undang Luak Johol; dan YTM Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin, Undang Luak Rembau.

Turut menandatangani kenyataan itu ialah YTM Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin dan YAM Dato’ Seri Utama Haji Badarudin bin Abd Khalid, Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.

Menurut kenyataan rasmi bertajuk “Sidang Khas dan Pengumuman Surat Cara Proklamasi Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959”,
Ismail telah menandatangani dan melengkapkan Surat Cara Proklamasi di bawah Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) ketika mengadap Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar yang dinyatakan sebagai Raja Pemerintah Negeri Sembilan yang sah menurut UUTKNS.

Kenyataan itu menyebut semua Undang Yang Empat terlebih dahulu menandatangani proklamasi serta menurunkan cop mohor masing-masing pada 19 April lalu bagi mengisytiharkan penurunan takhta Tuanku Muhriz.

Surat Cara Proklamasi yang kemudiannya ditandatangani Menteri Besar itu antara lain merujuk kepada pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan secara kebulatan oleh Undang Yang Empat menurut Perkara 10(1)(b) UUTKNS.

Kenyataan berkenaan turut menegaskan bahawa mantan Yang di-Pertuan Besar tidak pernah mencabar di mahkamah kesempurnaan penurunan takhta baginda pada 19 April mengikut Perkara 10(2) UUTKNS.

Dalam pada itu, Pemerintah Bersama Negeri Sembilan mendakwa mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai lalu tidak sah kerana dipanggil oleh mantan Yang di-Pertuan Besar tanpa dihadiri Undang Yang Empat yang disahkan mengikut rekod rasmi setakat 30 Julai, selain Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.

Justeru, mereka menegaskan permuafakatan Undang Yang Empat untuk menjalankan prerogatif di bawah Perkara 10(2) UUTKNS pada 19 April bagi menurunkan Tuanku Muhriz adalah sempurna mengikut undang-undang Perlembagaan.

Susulan tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos terhadap proklamasi yang dibuat pada 19 April, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin memutuskan proklamasi itu perlu dikuatkuasakan serta-merta demi memelihara kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan semua anggota pentadbiran kerajaan negeri dituntut mematuhi proklamasi berkenaan dengan serta-merta serta menjunjung keluhuran Perlembagaan tanpa berbelah bahagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat