LGM lancar van bergerak, dekati pekebun kecil laksana perkhidmatan industri getah

Oleh Zihan Zari

SIK – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah melancarkan dua buah Van Kaunter Bergerak bagi menyokong pelaksanaan Perkhidmatan Kaunter Getah Untuk Rakyat (GeRak), selain membawa kemudahan terus perkhidmatan berkaitan industri getah dengan lebih dekat dengan pekebun kecil secara terus.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mahu van ini menjadi lebih daripada sebuah kaunter bergerak. Ia perlu menjadi penghubung yang membantu rakyat mendapatkan jawapan, menyelesaikan urusan dan mengetahui peluang yang disediakan.

Dr. Noraini berkata, pelancaran GeRak membawa satu mesej yang jelas, bahawa perkhidmatan kerajaan perlu sentiasa dekat dengan rakyat serta mudah dicapai dan tumpuan diberikan kepada daerah Sik dan pengalaman di sini akan menjadi asas untuk menambah baik pelaksanaannya di lokasi seterusnya.

Kita tidak mahu pekebun kecil tercicir hanya kerana sukar mendapatkan maklumat dan juga tidak mahu bantuan yang disediakan gagal dimanfaatkan kerana prosesnya terlalu jauh atau rumit.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Kaunter GeRak Tahun 2026 di di Dewan Al Hana, Kompleks Sukan Perdana, Majlis Daerah Sik, dekat sini pada Khamis.

Inilah pembaharuan yang mahu kita bawa, perkhidmatan kerajaan tidak seharusnya hanya menunggu rakyat datang. Kita perlu turun, mendengar dan membawa penyelesaian lebih dekat kepada mereka.

Turut hadir, Pengerusi LGM, Tan Sri Dato’ Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Setiausaha KPK, Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha KPK (Perladangan & Komoditi), Dato’ Razali Mohamad; dan Ketua Pengarah LGM, Dato’ Dr. Zairossani Mohd Nor.

Beliau menyeru kepada para pekebun kecil, manfaatkanlah perkhidmatan yang dibawa melalui GeRak dan dapatkan maklumat mengenai bantuan, teknologi dan peluang yang disediakan.

Menurut beliau, industri getah bukan sekadar tentang pengeluaran dan nilai eksport. Di sebalik setiap kebun, ada keluarga yang bergantung pada hasilnya. Ada kehidupan yang dibina melalui usaha dan titik peluh para pekebun kecil.

“Peranan mereka cukup besar dan berdasarkan data sehingga Jun 2026, sektor pekebun kecil menyumbang 88.7 peratus (%) daripada pengeluaran getah asli negara.

“Sebab itu, kesejahteraan pekebun kecil sentiasa menjadi keutamaan kementerian. Kita mahu mereka mendapat akses yang lebih mudah kepada maklumat, bantuan, khidmat nasihat dan teknologi.

“Namun, kita memahami realiti yang dihadapi, tidak semua pekebun kecil tinggal berhampiran pejabat atau pusat perkhidmatan, ada yang perlu menempuh perjalanan jauh dan ada terpaksa pergi ke beberapa pejabat untuk menyelesaikan urusan yang berbeza.

“Pastinya perjalanan ini melibatkan masa, tenaga dan kos. Kesukaran mendapatkan maklumat juga boleh menyebabkan mereka terlepas bantuan atau peluang yang disediakan, ”menurutnya lagi.

Katanya, perkhidmatan kerajaan perlu dibawa lebih dekat kepada rakyat. Urusan mereka perlu dipermudah supaya bantuan dan peluang yang disediakan dapat dimanfaatkan.

“Pemilihan Sik sebagai lokasi pelancaran GeRak bukan dibuat secara kebetulan, daerah ini mempunyai komuniti pekebun kecil getah yang besar.

“Terdapat 8,761 pemegang Permit Autoriti Transaksi Getah atau PAT-G di daerah ini yang mengusahakan tanaman getah seluas lebih 10,800 hektar, manakala 47,855 pemegang PAT-G dan keluasan tanaman getah yang diusahakan oleh pekebun kecil pula mencecah lebih 59,000 hektar di seluruh Kedah.

“Angka ini menunjukkan betapa pentingnya industri getah kepada kehidupan masyarakat di Kedah. Ia juga menjelaskan mengapa perkhidmatan kerajaan perlu dibawa lebih dekat kepada mereka. Atas keperluan inilah GeRak diperkenalkan. Kita tidak mahu rakyat terus berulang-alik dari satu pejabat ke satu pejabat, ”katanya lagi.

Ujarnya, melalui konsep Pusat Sehenti oleh LGM dengan pelbagai perkhidmatan dihimpunkan di satu lokasi. Pekebun kecil boleh mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan mengemukakan permohonan serta boleh mendapatkan penerangan mengenai teknologi, Amalan Pertanian Baik, Program Tanam Semula serta bantuan dan insentif kerajaan. Sehingga kini, sebanyak 44 program Pusat Sehenti telah diadakan di Semenanjung Malaysia dan lapan program telah dilaksanakan di Kedah.

“GeRak membawa pendekatan ini selangkah ke hadapan. Ia melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi supaya lebih banyak perkhidmatan dapat dibawa terus kepada rakyat.

“Melalui pelaksanaan GeRak di Sik, kita menyasarkan seramai 5,000 pekebun kecil menerima manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan. Kita mahu mereka datang bukan sekadar untuk bertanya. Kita mahu urusan diselesaikan dan setiap perkara yang dibangkitkan diberikan tindakan susulan.

“Inilah pembaharuan yang mahu kita bawa, perkhidmatan kerajaan tidak seharusnya hanya menunggu rakyat datang. Kita perlu turun, mendengar dan membawa penyelesaian lebih dekat kepada mereka.

“Antara perkara yang sering menjadi perhatian pekebun kecil ialah kedudukan harga getah dan kita memahami bahawa perubahan harga memberi kesan langsung kepada pendapatan mereka,”ujarnya lagi.

Bagi membantu pekebun kecil ketika harga getah berada pada paras yang rendah, kerajaan melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah atau IPG. Sejak November 2015 hingga Jun 2026, pembayaran IPG di Kedah mencecah RM64.57 juta, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, pekebun kecil boleh mendapatkan maklumat mengenai syarat kelayakan dan proses tuntutan IPG melalui GeRak. Kita mahu bantuan yang disediakan benar-benar sampai kepada mereka yang layak. Bantuan sahaja tidak memadai. Kita juga perlu membantu pekebun kecil meningkatkan produktiviti dan memperoleh pendapatan yang lebih baik.

“Projek Rintis Model Baharu Insentif Pengeluaran Lateks (IPL+) di Kedah melibatkan 111 pekebun kecil dalam empat kluster sejak tahun 2024. Sehingga Ogos 2026, projek ini telah menghasilkan lebih 110,000 kilogram (kg) lateks dan menjana pendapatan terkumpul sekitar RM1.37 juta.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa pekebun kecil mampu meningkatkan hasil apabila diberikan insentif, teknologi dan akses pasaran yang tepat. Pendekatan seperti ini perlu terus diperkukuh supaya mereka dapat membina pendapatan yang lebih baik.

“Dalam menjaga kebajikan pekebun kecil, kita juga perlu melihat masa depan industri getah. Pasaran kini semakin menuntut pengeluaran yang berkualiti, mampan dan mempunyai sistem kebolehkesanan yang baik.

“Atas sebab itu, pelaksanaan Malaysian Sustainable Natural Rubber (MSNR) menjadi semakin penting. Maklumat dan bimbingan berkaitan MSNR dapat disampaikan terus kepada pekebun kecil melalui GeRak.

“Mereka juga boleh mendapatkan panduan mengenai Amalan Pertanian Baik dan penggunaan teknologi. Teknologi hanya membawa perubahan apabila benar-benar sampai ke kebun. Ia mesti mudah digunakan dan dapat membantu menyelesaikan masalah pekebun kecil.

“Kita mahu hasil kebun meningkat. Kita mahu mutu getah bertambah baik. Paling penting, kita mahu pendapatan pekebun kecil turut bertambah. GeRak bukan program yang berakhir selepas pelancaran pada hari ini. Ia merupakan projek rintis yang akan dilaksanakan secara berfasa.

“Sepanjang tempoh 2026 hingga 2028, LGM akan melaksanakan tiga siri GeRak. Pelaksanaannya akan melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

“Keberkesanan program ini akan dinilai pada 2029 dan 2030 sebagai asas untuk memperluas pelaksanaan GeRak sehingga 12 kali setahun. Kita mahu peluasan GeRak dibuat berdasarkan hasil yang jelas. Ia perlu dilihat melalui jumlah rakyat yang dibantu, urusan yang diselesaikan dan maklum balas pekebun kecil.

“Kita mahu pekebun kecil mengurus kebun dengan lebih baik. Kita mahu hasil dan pendapatan mereka meningkat. Kita juga mahu industri getah terus menjadi sumber rezeki kepada generasi seterusnya.

“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, kita dapat membina industri getah yang lebih mampan, berdaya saing dan terus memberikan manfaat kepada rakyat, ”tambahnya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat