60 Persen Habitat Orang Utan Kalimantan Dilaporkan Telah Terbakar

CYBERJAYA : Lebih 60 peratus kawasan habitat orang utan di Kalimantan, Indonesia, dilaporkan terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah sepanjang tempoh pemantauan dari 1 Jun hingga 28 Ogos 2026.

Memetik laporan Tempo.co, analisis Geopix mendapati sebanyak 25.81 juta hektar, atau kira-kira 60.2 peratus daripada keseluruhan habitat orang utan di Kalimantan, termasuk dalam kawasan yang terjejas kebakaran sepanjang tempoh berkenaan.

Data itu menunjukkan peningkatan ketara jumlah titik panas, khususnya pada Ogos, dengan kebakaran berlaku secara lebih meluas dan padat berbanding Jun serta Julai lalu.

Menurut Senior Wildlife Campaigner Geopix, Annisa Rahmawati, sebanyak 22,744 titik panas dikesan di seluruh Kalimantan antara 1 Jun hingga 28 Ogos 2026.

Daripada jumlah itu, 17,865 titik panas atau 78.5 peratus berada dalam kawasan habitat orang utan.

Analisis berkenaan menggunakan data rasmi kerajaan Indonesia daripada sistem pemantauan kebakaran hutan dan tanah Sipongi, dengan semua tahap keyakinan data, sebelum ditindihkan dengan data kawasan habitat tiga subspesies orang utan Kalimantan.

Subspesies Pongo pygmaeus wurmbii merupakan antara yang paling teruk terjejas.

Pada Ogos sahaja, sebanyak 13,085 titik panas direkodkan dalam habitat subspesies berkenaan, meningkat mendadak berbanding 1,123 titik pada Julai.

Sebagai perbandingan, habitat Pongo pygmaeus morio merekodkan 709 titik panas pada Ogos berbanding 195 pada Julai, manakala Pongo pygmaeus pygmaeus mencatatkan 716 titik pada Ogos berbanding 91 pada Julai.

Geopix memberi amaran bahawa kebakaran bukan sahaja memusnahkan litupan hutan, malah berpotensi mengganggu sumber makanan, pokok tempat orang utan membuat sarang, hubungan antara kawasan habitat serta kelangsungan populasi spesies berkenaan.

Beberapa kawasan dikenal pasti sebagai paling kritikal berikutan populasi orang utan yang kecil tetapi berdepan jumlah titik panas yang tinggi, termasuk Muller-Schwaner, Western Schwaner dan Seruyan-Sampit.

Geopix menggesa tindakan kecemasan dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, kawasan seperti Belayan-Senyiur, Beratus dan Sabangau dikategorikan mempunyai ancaman relatif lebih rendah dan boleh diberikan tumpuan kepada pemantauan serta pemulihan habitat.

Kawasan Rungan River, Katingan dan Gunung Palung pula dilihat sebagai kantong populasi penting yang perlu diberi keutamaan dalam usaha mencegah kebakaran serta melindungi habitat.

Geopix turut menggesa supaya satu kajian menyeluruh terhadap habitat dan populasi orang utan Kalimantan dilakukan selepas kebakaran berakhir.

Kajian itu penting bagi menentukan tahap sebenar kerosakan, keadaan populasi, ketersediaan sumber makanan dan bahan untuk membuat sarang, selain perubahan lain terhadap habitat orang utan.

Menurut Geopix, hasil kajian berkenaan perlu dijadikan asas untuk mengemas kini Population and Habitat Viability Assessment (PHVA) orang utan Kalimantan.

PHVA terakhir pada 2016 menganggarkan kira-kira 57,350 ekor orang utan masih hidup di habitat liar di Kalimantan.

Geopix turut menggesa kerajaan Indonesia menyediakan pelan tindakan kecemasan bagi menyelamatkan populasi dan habitat orang utan, termasuk perlindungan koridor habitat, pencegahan kebakaran berulang, penguatkuasaan undang-undang dan pemulihan ekosistem.

Menurut Annisa, keutamaan ketika ini ialah memadamkan kebakaran dan menyelamatkan sebanyak mungkin habitat orang utan yang masih berbaki, di samping mengurangkan kesan langsung bencana itu terhadap manusia dan hidupan liar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat