KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri serta PKOB peringkat daerah di Kota Kinabalu, Keningau dan Papar selepas bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) menghampiri 200.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Zainudin Aman berkata, Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Kimanis dan Politeknik Kota Kinabalu kini dikategorikan pada tahap Amaran 1A.
Antara tindakan ditetapkan ialah menghentikan aktiviti di luar bilik darjah, menangguhkan aktiviti kokurikulum dan sukan serta meningkatkan hebahan kepada orang ramai mengenai bacaan IPU dan langkah berjaga-jaga.
Kerajaan negeri turut meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap industri serta tapak pelupusan sampah.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Pelan tindakan mengikut kawasan ini adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zainudin berkata, aktiviti rasmi kerajaan negeri dicadangkan supaya dibatalkan atau ditangguhkan sekiranya IPU mencapai atau melebihi 200, manakala aktiviti di dalam bangunan masih dibenarkan.
Sekolah di kawasan yang merekodkan IPU 200 atau lebih juga akan disyorkan ditutup dan melaksanakan pembelajaran dari rumah.
Setakat pukul 8 pagi tadi, enam kawasan di Sabah mencatatkan IPU tidak sihat. Politeknik Kota Kinabalu merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 185, diikuti Kota Kinabalu 179, Kimanis 175, Keningau 173, Sandakan 152 dan Tawau 123.
Pengisytiharan darurat atau bencana jerebu pula hanya akan dilaksanakan sekiranya bacaan IPU mencecah 500 dan ke atas.



