Kematian dalam tahanan: Mahkamah Persekutuan benarkan Kerajaan dan polis kemuka rayuan

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memberikan kebenaran kepada kerajaan dan polis untuk merayu keputusan yang mendapati mereka bertanggungjawab atas kematian penggali kubur, Mohd Fadzrin Zaidi, yang ditemukan tergantung di lokap polis pada 2019.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan itu berdasarkan dua persoalan undang-undang.

Persoalan pertama menyentuh prinsip yang mengawal pengenaan kewajipan berjaga-jaga, manakala persoalan kedua berkaitan sama ada sifat kesalahan jenayah dilakukan seseorang tahanan perlu dipertimbangkan ketika mahkamah menentukan kebolehjangkaan munasabah dalam kes bunuh diri tahanan.

Panel sama turut memberikan kebenaran merayu kepada keluarga pengawal keselamatan, M. Thinagaran, dalam kes berasingan berhubung kematiannya ketika berada dalam tahanan.

Dua persoalan undang-undang yang dikemukakan dalam kes Thinagaran adalah hampir sama dengan persoalan dibangkitkan dalam kes Mohd Fadzrin.

Dalam kes Mohd Fadzrin, kerajaan dan polis memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 Januari lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa mereka bertanggungjawab atas kematiannya.

Mohd Fadzrin, 29, ditahan dalam serbuan dadah pada 20 November 2019 dan direman selama tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.

Bagaimanapun, dia ditemukan tergantung di dalam sel pada awal pagi keesokannya.

Ibunya, Fadhelah Othman, memulakan tindakan undang-undang terhadap polis dan kerajaan di Mahkamah Tinggi Georgetown pada 2022.

Pada Mei 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan polis cuai kerana gagal menghalang Mohd Fadzrin daripada mengambil nyawanya sendiri ketika dalam tahanan.

Mahkamah turut memutuskan kerajaan bertanggungjawab secara vikarius atas kecuaian itu dan memberikan ganti rugi sebanyak RM147,600 kepada Fadhelah.

Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan keputusan berhubung liabiliti, tetapi mengurangkan jumlah ganti rugi kepada RM97,600.

Jumlah itu merangkumi RM57,600 bagi kehilangan tanggungan, RM30,000 bagi kesakitan dan penderitaan serta RM10,000 sebagai ganti rugi khas. Mahkamah turut mengetepikan ganti rugi teruk sebanyak RM50,000.

Dalam kes berasingan, balu Thinagaran, R. Tenaswari dan bapanya, K. Madhavan, selaku pentadbir bersama harta pusakanya, memfailkan tindakan terhadap kerajaan, Pengarah Maritim Selangor serta seorang pegawai penyiasat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Mereka mendakwa berlaku kecuaian, pelanggaran kewajipan statutori dan salah laku dalam jawatan awam.

Thinagaran, 31, ditemukan meninggal dunia ketika ditahan di lokap APMM di Klang pada 2019. Dia dipercayai menggantung dirinya pada siling sel menggunakan seluar yang diberikan kepadanya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan tuntutan kecuaian dan memberikan RM172,800 bagi kehilangan pendapatan, RM6,370 sebagai ganti rugi khas, RM5,000 bagi perbelanjaan pengebumian dan RM10,000 bagi kehilangan orang tersayang.

Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan Mahkamah Rayuan, menyebabkan keluarganya memohon kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Kerajaan dan polis diwakili Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom dan Nur Ezdiani Roleb, manakala Fadhelah diwakili peguam M. Visvanathan, V. Sanjay Nathan dan Pushan Qin Nathan.

Dalam kes Thinagaran, keluarganya diwakili peguam M. Manoharan, manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin dan Siti Syakimah Ibrahim. – BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat