Oleh Zihan Zari
PORT DICKSON – Saintis dan penyelidik yang menyertai Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan (HS) Pasir Panjang, Negeri Sembilan telah berhasil menemukan pelbagai spesies tumbuhan dan hidupan liar.
Ketua Ekspedisi, Prof. Madya Dr. Amiruddin Ahmad berkata, empat rekod baharu spesies pepatung iaitu Pornothemis serrata, Onychargia atrocyana, Pseudagrion williamsoni dan Teinobasis ruficollis; lapan spesies lalat buah yang merupakan rekod pertama bagi Negeri Sembilan, di mana tiga daripadanya adalah spesies yang berkepentingan ekonomi di Semenanjung Malaysia.
Manakala enam spesies tumbuhan berstatus endemik termasuk dua daripadanya ialah Santaloides rugosa dan Syzygium subdecussatum.
Turut ditemukan tiga spesies burung iaitu Green Iora (Aegithina viridissima), Grey-bellied Bulbul (Rubigula cyaniventris), Lesser adjutant (Leptoptilos javanicus).
Selain itu, satu spesies mamalia kecil iaitu Black giant squirrel (Ratufa bicolor) yang berstatus Near Threatened (NT); serta dua spesies mamalia kecil iaitu Sunda slow loris (Nycticebus coucang) dan Long-tailed macaque (Macaca fascicularis); dan satu spesies kura – kura iaitu Spiny hill turtle (Heosemys spinosa) yang berstatus Endangered (EN).
Dr. Amiruddin berkata para penyelidik yang turun ke lapangan, telah menjalankan pemerhatian, pensampelan, pengumpulan data dan dokumentasi serta menilai kepelbagaian spesies flora, fauna dan sumber semula jadi yang terdapat di HS Pasir Panjang, Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mempunyai kepakaran dalam bidang hidupan akuatik, khususnya ikan dan ketam, serta herpetofauna yang meliputi reptilia dan amfibia.
Ekspedisi yang bermula dari 10 hingga 14 Ogos telah menghimpunkan lebih daripada 37 orang para saintis dan penyelidik daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan, institut penyelidikan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dan minat dalam bidang pengurusan hutan serta kepelbagaian biologi.
Antaranya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), UMT, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST), dan Kumpulan Pakar Flora Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) .
“Para penyelidik akan meneruskan kajian serta analisis lanjut terhadap penemuan yang diperoleh, sebelum hasil penyelidikan tersebut dibentangkan dalam Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan yang bakal dianjurkan pada tahun hadapan, ”kata Dr. Amiruddin ketika sesi penggulungan rumusan ekspedisi.
Ekspedisi ini merupakan siri ke-53 JPSM dan siri ke-5 di Negeri Sembilan, telah dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri (JPN), Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Syed Ibrahim Syed Noh berkata usaha menjaga biodiversiti tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja. Ia memerlukan ilmu, kepakaran dan kerjasama daripada kerajaan, penyelidik, komuniti serta masyarakat secara keseluruhannya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Pasir Panjang di PD Forest Sungai Menyala, dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Mohd Radhi Chu Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JPSM, Dato’ Hj. Roslan Rani; Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Ts. Mohd Yussainy Md Yusop; dan Pengarah Bahagian Silvikultur & Pemeliharaan Biologi Hutan JPSM, Dr. Aldrich Richard.
Syed Ibrahim berkata, Malaysia amat bertuah kerana dikurniakan kekayaan biodiversiti dan hutan tropika yang sangat bernilai.
Katanya, sejak Sidang Kemuncak Bumi diRio de Janeiro pada 1992, kita kekal komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus (%) keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan litupan pokok.
Komitmen ini bukan hanya tentang keluasan hutan yang dapat kita kekalkan, yang lebih penting ialah bagaimana hutan itu terus dijaga, biodiversitinya dilindungi dan manfaatnya dapat dirasai oleh generasi hari ini serta generasi akan datang.
“Hutan juga merupakan antara penyerap karbon semula jadi yang penting. Jadi apabila kita menjaga hutan, kita bukan sahaja melindungi biodiversiti, tetapi turut menyumbang kepada usaha negara menangani perubahan iklim dan memenuhi komitmen di bawah Perjanjian Paris.
“Kita juga perlu melihat biodiversiti sebagai satu aset yang mempunyai potensi lebih luas. Dengan pengurusan yang bertanggungjawab dan berasaskan sains, ia boleh menyokong penyelidikan, bioekonomi, penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan ekopelancongan yang mampan.
“NRES akan terus memberikan perhatian dan sokongan kepada usaha pemeliharaan biodiversiti negara. Tetapi kita juga sedar bahawa usaha ini tidak boleh digerakkan oleh Kerajaan sahaja, ”katanya lagi.
Ujarnya lagi, hutan yang kita warisi hari ini bukan milik generasi kita sahaja. Amanah kita adalah memastikan generasi selepas kita masih berpeluang mengenali, menikmati dan mendapat manfaat daripada khazanah yang sama.
Terdahulu, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Mohd Radhi Chu Abdullah berkata, sejak lebih satu abad yang lalu, JPSM telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus khazanah hutan negara secara lestari.
Menurut beliau, amanah ini menjadi semakin penting dalam landskap global hari ini apabila hutan tidak lagi dinilai semata-mata sebagai sumber pengeluaran kayu, tetapi sebagai aset strategik negara yang menyokong keterjaminan biodiversiti, kestabilan iklim, kesejahteraan masyarakat serta pembangunan ekonomi hijau.
Menurutnya, keluasan kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia pada masa ini adalah kira-kira 5.76 juta hektar, bersamaan 43.7 % daripada keluasan tanah Semenanjung Malaysia, dan daripada jumlah tersebut, kira-kira 4.85 juta hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).
“Angka ini bukan sekadar menggambarkan keluasan kawasan hutan yang kita miliki, tetapi turut mencerminkan amanah besar yang perlu kita pertahankan bersama.
“Yang lebih penting ialah memastikan setiap hektar hutan tersebut terus mempunyai nilai ekologi, biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem yang berfungsi untuk generasi masa kini dan akan datang,”menurutnya lagi.
Katanya, sejak tahun 1999, JPSM dengan kerjasama JPN dan pelbagai institusi penyelidikan telah melaksanakan sebanyak 52 ekspedisi dan sepanjang tempoh tersebut, lebih 6,766 spesies flora dan 2,552 spesies fauna telah direkodkan.
Penemuan dan maklumat yang dikumpulkan ini telah didokumentasikan dalam 34 siri prosiding dan seterusnya akan diterjemahkan ke dalam pangkalan data Sistem Kepelbagaian Biologi Hutan JPSM.
“HS Pasir Panjang berkeluasan 155.60 hektar, sebagai lokasi ekspedisi kali ini amat bertepatan dengan keunikan dan kepentingan kawasan ini serta merupakan kawasan hutan tanah pamah pantai yang merangkumi tiga fungsi hutan iaitu Hutan Tadahan Air, Hutan Lipur serta Hutan Simpanan Hutan Dara atau Virgin Jungle Reserve (VJR).
“Kawasan HS ini merupakan satu-satunya HSK di Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Selat Melaka, sekali gus menjadikannya sebuah kawasan yang mempunyai komposisi flora dan fauna yang unik serta nilai ekologi yang tersendiri.
“Kawasan ini juga menjadi habitat kepada pelbagai spesies tumbuhan dan hidupan liar pesisir pantai serta mempunyai kepentingan sebagai kawasan perlindungan bagi burung-burung penghijrah,”katanya lagi.
“Pelaksanaan ekspedisi di HS Pasir Panjang pada kali ini juga mengambil kira keperluan untuk mendapatkan data dan maklumat biodiversiti kawasan tersebut secara lebih menyeluruh.
“Ini menunjukkan bahawa pengurusan hutan perlu sentiasa responsif terhadap keperluan semasa, khususnya apabila terdapat kawasan yang mempunyai nilai biodiversiti dan ekologi yang signifikan,”ujarnya.
Ujarnya lagi, hasil dapatan ekspedisi ini diharapkan dapat menjadi rujukan kepada para penyelidik untuk kajian lanjutan serta menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam mengenai biodiversiti hutan tanah pamah pantai di Semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu, pihak JPN Negeri Sembilan terus memperkasakan pembangunan ekopelancongan menerusi penubuhan Dataran Astronomi di PDForest @ Sungai Menyala, di sini pada Oktober 2022.
Dataran Astronomi seluas 1,319 meter persegi (14,208 kaki persegi) ini adalah sebuah tarikan unik yang menggabungkan keindahan hutan tropika dengan ilmu astronomi, sekaligus menawarkan pengalaman pembelajaran yang berbeza kepada pengunjung.
Dataran ini dibangunkan dalam kawasan HS Sungai Menyala yang mempunyai tahap pencemaran cahaya yang rendah, merupakan lokasi ideal untuk aktiviti cerapan bulan, bintang, planet dan galaksi bima sakti.
Pada waktu siang pula, pengunjung berpeluang mempelajari konsep pergerakan matahari menerusi sebuah jam matahari (sundial) yang berfungsi menentukan waktu berdasarkan kedudukan matahari.
Dataran Astronomi ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) pada 4 Jun 2023 menerusi dua rekod kebangsaan iaitu ‘Dataran Astronomi Terbesar dalam Hutan Simpanan Kekal’ dan ‘Jam Matahari Terbesar dalam Hutan Simpanan Kekal’.
Keunikannya menjadikan PD Forest @ Sungai Menyala sebagai HS pertama di Malaysia yang menampilkan konsep gabungan ekopelancongan dan astropelanancongan.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan ilmu astronomi kepada masyarakat, malah meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara kawasan hutan yang bebas daripada pencemaran cahaya sebagai aset penting untuk penyelidikan, pendidikan dan rekreasi.- SUARA.TV



