KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ahli DAP berkuat kuasa hari ini melalui satu kenyataan di laman Facebook.
Beliau turut menyatakan syukur kerana diberi peluang untuk menyumbang kepada parti dan negara melalui pelbagai cara sejak menyertai parti pada tahun 2012.
Hantaran di Facebook berkenaan juga ditulis untuk dimaklumkan kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Ong pernah menjadi Ahli Parlimen Serdang sejak 2013 hingga 2018, Ahli Parlimen Bangi 2018 hingga hingga 2022.
Beliau juga pernah menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) 2018 hingga 2020, sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) 2019 hingga 2022 dan sebagai Ahli Jawatankuasa Negeri DAP Selangor dipilih pada 2018 hingga 2024.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada Saudara Tony Pua kerana jemputan beliau kepada saya untuk menyertai parti DAP dan panduan yang diberkan oleh beliau kepada saya tentang cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara sepanjang 14 tahun yang lalu.
“Saya juga berterima kasih kepada Saudara Lim Guan Eng kerana memberi saya peluang untuk dicalonkan untuk kerusi parlimen Serdang dan Bangi dan sebagai Timbalan Menteri semasa beliau menjadi Setiausaha Agung DAP,” katanya dalam kenyataan itu.
Ong berkata beliau merancang untuk tidak menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan saya tidak berniat untuk bertanding sebagai calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang telah saya buat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding.” katanya.
Selepas kira-kira 8 jam kenyataan Ong dimuat naik ke Facebook, Loke membuat status di Facebook beliau “Habis madu, sepah dibuang…” tanpa diketahui maksud sebenarnya.
Adakah status berkenaan dibuat berkaitan dengan peletakan jawatan Ong hari ini atau sebaliknya.



