Oleh Zihan Zari
AMPANG – Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenang jasa dan pengorbanan lima pesara kerajaan yang pernah menyumbang kepada perjalanan negara, daripada era sebelum kemerdekaan sehingga usaha mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz telah menyantuni pesara menerusi Program Santuni Pesara (Ziarah Kasih Merdeka) di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
JPA dalam kenyataan berkata, program yang dilaksanakan ini bukan sahaja menjadi tanda keprihatinan JPA terhadap kebajikan pesara perkhidmatan awam, malah membawa makna lebih besar sebagai penghargaan terhadap generasi terdahulu yang telah mencurahkan khidmat bakti demi pembentukan, keamanan dan kedaulatan negara.
“Daripada lima pesara yang disantuni, dua daripadanya telah memulakan perkhidmatan sebelum negara mencapai kemerdekaan, sekaligus menjadi sebahagian daripada generasi yang menyaksikan dan menyumbang kepada perjalanan negara menuju kemerdekaan, ”kata kenyataan itu.
Samy @ Thambirajah A/L Ponnusamy, 94, mula berkhidmat di Keretapi Tanah Melayu pada 15 Januari 1951. Beliau terlibat dalam urusan persiapan ambang kemerdekaan dan sambutan Hari Kemerdekaan.
Beliau turut menguruskan perjalanan kereta api serta pergerakan pengunjung ke Stadium Merdeka ketika detik bersejarah tersebut.
Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Hj. Wan Mahmood Pawan Teh telah memainkan peranan secara langsung dalam usaha perang saraf dengan menyampaikan maklumat bagi mendapatkan sokongan rakyat terhadap usaha kerajaan menentang ancaman komunis.
Wan Mahmood, 96, telah memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 April 1953 dan pernah berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. Peranan beliau sebagai pentadbir turut membantu membina asas kepada sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Selepas kemerdekaan dicapai, keamanan negara terus diuji dan dipertahankan oleh anggota pasukan keselamatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi tanah air.
Antaranya, Koperal (B) Ismail Rejab, 76, ketika itu bertugas di Batalion ke-17, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pernah terlibat dalam serang hendap pengganas komunis di Kedah pada 1975 yang mengorbankan tujuh anggota pasukan keselamatan serta mencederakan lapan yang lain. Beliau sendiri mengalami kecederaan di bahagian pinggang.
Mejar (B) YM Raja Musa Raja Abdul Rahman, 74, yang pernah terlibat dalam Ops Gerakan di Bentong, Pahang pada 1978 dan terkena jerangkap samar yang dipasang tentera komunis sehingga menyebabkan beliau kehilangan penglihatan mata kanan serta kaki kanan.
Deputi Komisioner Polis (B) Dato’ Kamaruddin Hamzah pula pernah mengetuai satu konvoi pasukan keselamatan yang diserang hendap oleh pengganas komunis dalam perjalanan dari pangkalan Pasukan Polis Hutan Kroh menuju Betong pada 1968.
Kamaruddin, 82, juga turut terlibat dalam pertempuran menentang komunis semasa peristiwa Ban Na Lee pada tahun yang sama.
“Kisah lima pesara ini menggambarkan bahawa kemerdekaan yang dinikmati hari ini bukan hanya lahir daripada satu detik sejarah, tetapi turut dibina dan dipertahankan melalui khidmat bakti, keberanian serta pengorbanan generasi terdahulu dalam pelbagai bidang, ”kata kenyataan itu lagi.
Katanya, melalui program seperti ini , JPA terus menzahirkan penghargaan kepada pesara perkhidmatan awam yang telah menabur bakti kepada negara, di samping mendekati mereka secara langsung bagi memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan terus diberi perhatian.
“Sempena Bulan Kebangsaan, kisah dan pengorbanan mereka wajar terus dikenang sebagai sebahagian daripada legasi negara serta menjadi peringatan kepada generasi hari ini bahawa kemerdekaan, keamanan dan kemajuan yang dikecapi bukan sesuatu yang datang tanpa harga.
“Jasa mereka mungkin tercatat dalam sejarah, namun maknanya terus hidup dalam negara yang kita nikmati hari ini,”ujarnya. – SUARA.TV



