Belia 18 hingga 30 tahun dapat ILMUchat Pro percuma tiga bulan

KUALA LUMPUR,  — Rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun berpeluang menikmati akses percuma ILMUchat Pro selama tiga bulan menerusi program AI Untuk Rakyat, inisiatif kebangsaan Kementerian Digital.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL AI Labs dan MyDIGITAL Corporation menerusi platform Rakyat Digital itu menyasarkan 100,000 belia Malaysia bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Menurut kenyataan YTL AI Labs, peserta perlu melengkapkan latihan AI yang ditetapkan menerusi platform latihan digital kebangsaan Rakyat Digital sebelum layak menuntut langganan ILMUchat Pro yang biasanya berharga RM50 sebulan.

Program berkenaan sebelum ini diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu ketika pelancaran AI Malaysia di Cyberjaya bersama Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030.

AI Untuk Rakyat merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan pengetahuan dan kemahiran AI dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.

ILMUchat Pro menawarkan pembantu AI yang dibangunkan berdasarkan cara rakyat Malaysia berkomunikasi dan bekerja, termasuk keupayaan bertukar secara semula jadi antara Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Manglish.

Ia boleh digunakan bagi pelbagai tugasan pendidikan, pekerjaan dan urusan harian termasuk merangka e-mel serta surat, mencari perkhidmatan tempatan, menghasilkan poster dan grafik, menyediakan slaid pembentangan serta membina prototaip aplikasi tanpa perlu menulis kod.

Menurut kenyataan itu, kemudahan tersebut juga boleh membantu pengguna dalam penyelidikan dan urusan seperti pertanyaan pembayaran balik PTPTN, permohonan geran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta permohonan pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata pihaknya berbangga dapat menyokong kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara peneraju AI.

“Kami berharap dapat memperkasakan generasi ini bukan sahaja untuk menggunakan AI, malah menjadi pembangun dan penyumbang yang mencorakkan masa depan AI Malaysia,” katanya.

Bagi mendapatkan tawaran berkenaan, peserta perlu log masuk ke platform Rakyat Digital dan melengkapkan kursus yang ditetapkan sebelum memilih ILMUchat Pro menerusi papan pemuka masing-masing.

Mereka kemudiannya perlu menggunakan MyDigital ID bagi proses pengesahan identiti sebelum akses percuma selama tiga bulan diaktifkan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat