Oleh Zihan Zari
IPOH – Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Politeknik Ungku Omar (PUO) tampil buat julung kalinya menyertai Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Negeri Perak 2026 menerusi kategori Pintu Gerbang, anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Perak bersama Kerajaan Negeri Perak.
Penyertaan sulung itu merupakan inisiatif Mohd Fadil Abdullah dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dan Mohamad Shahrir Ali dari Jabatan Kejuruteraan Perkapalan (JKP), dengan penglibatan warga JHEP, JPP serta Sahabat Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (SJPP).
Penghasilan pintu gerbang berkenaan bukan sekadar menceriakan persekitaran kampus, malah menjadi medium menyemarakkan semangat patriotik dan kreativiti warga PUO, khususnya dalam kalangan generasi Gen Z.
Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh berkata, patriotisme perlu dizahirkan melalui pendekatan kreatif yang dekat dengan jiwa generasi muda.
Beliau berkata, generasi Gen Z mempunyai kreativiti dan cara tersendiri untuk menzahirkan kecintaan kepada negara. Pintu gerbang ini menjadi simbol bahawa patriotisme boleh diterjemahkan melalui kreativiti, kerja berpasukan dan penglibatan secara langsung.
“Kita mahu pelajar bukan sahaja melihat Jalur Gemilang berkibar, tetapi memahami nilai, sejarah dan identiti yang membentuk Malaysia,” katanya.
Keputusan pemenang pertandingan dijangka diumumkan 28 Ogos, manakala majlis penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos di Dewan Bandaran Ipoh, selepas perarakan kemerdekaan.
Penyertaan sulung ini membuktikan semangat ‘Jiwa Merdeka’ terus subur dalam kalangan warga PUO, sekali gus menyemarakkan kecintaan terhadap Jalur Gemilang dan tanah air. – SUARA.TV


