Kesedaran perubahan iklim perlu bermula daripada komuniti – Arthur Kurup

SOOK – Kesedaran mengenai perubahan iklim dan kualiti alam sekitar perlu bermula di peringkat komuniti kerana kesannya kini semakin dirasai secara langsung dalam kehidupan seharian, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Menurutnya, perubahan iklim bukan lagi isu yang hanya dibincangkan di peringkat antarabangsa, sebaliknya masyarakat kini berdepan cuaca semakin panas dan kering, gangguan terhadap sumber air serta peningkatan risiko kebakaran hutan dan kemerosotan kualiti udara.

“Apabila suhu semakin meningkat, sumber air mula terjejas dan risiko kebakaran hutan meningkat, keadaan ini akhirnya memberi kesan kepada kualiti udara dan kesejahteraan masyarakat.

“Golongan kanak-kanak, warga emas serta masyarakat yang bergantung kepada sumber alam untuk kehidupan dan pendapatan turut berdepan kesan secara langsung.

“Justeru, kesedaran terhadap perubahan iklim dan kualiti alam sekitar perlu bermula daripada peringkat komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Alam Kita (KAK) Negeri Sabah 2026 di Dewan Serbaguna SLDB, Kampung Dalit Gana, Sook yang berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Ogos.

Arthur berkata, perubahan iklim turut memberi kesan terhadap kesihatan, aktiviti pertanian, sumber pendapatan serta kesejahteraan keluarga, sekali gus menjadikan tindakan di peringkat komuniti semakin penting.

Menurutnya, tindakan menangani perubahan iklim tidak semestinya memerlukan langkah kompleks, sebaliknya boleh dimulakan menerusi amalan mudah seperti menanam pokok, menjaga kebersihan sungai, mengurus sisa secara berhemah, mengurangkan pembaziran serta memelihara kawasan hutan dan hidupan liar.

Katanya, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula sentiasa memantau serta menyampaikan maklumat berkaitan cuaca, sistem amaran awal dan status Indeks Pencemar Udara (IPU).

Maklumat berkenaan penting bagi membantu masyarakat membuat persediaan dan keputusan lebih tepat dalam menghadapi perubahan keadaan cuaca dan kualiti alam sekitar.

Arthur turut menegaskan agenda kelestarian alam sekitar perlu menjadi tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat bagi memastikan persekitaran bersih, sihat dan selamat dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Sementara itu, penganjuran Karnival Alam Kita menjadi antara pendekatan turun padang NRES bagi memastikan maklumat, perkhidmatan serta manfaat kerajaan berkaitan alam sekitar dan sumber asli dapat diakses secara langsung oleh masyarakat luar bandar.

Program berkenaan turut memberi peluang kepada penduduk Sook berinteraksi secara terus dengan jabatan dan agensi kerajaan serta mendapatkan maklumat mengenai cuaca dan sistem amaran awal, pemantauan kualiti udara, pengurusan sumber air, tanah dan geologi serta pemeliharaan hutan, hidupan liar dan biodiversiti.

Kira-kira 2,000 penduduk setempat yang menghadiri karnival itu turut menerima manfaat menerusi pelbagai program rentas kementerian termasuk agihan anak pokok, pameran pendidikan hidupan liar, Program Jualan Rahmah MADANI, perkhidmatan perbankan bergerak, pendaftaran MyDigital ID serta bantuan dan pengagihan bakul makanan.

NRES berkata, pendekatan itu akan diteruskan bagi memastikan agenda alam sekitar tidak hanya tertumpu kepada penggubalan dasar di peringkat pusat, sebaliknya diterjemahkan melalui penyampaian maklumat, perkhidmatan, pendidikan dan peluang penglibatan yang dapat dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat