Kibar Jalur Gemilang adalah mudah, tugas lebih besar ialah membina Malaysia yang rakyat rasa dihormati dan diterima – Sultan Selangor

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bahawa mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan adalah mudah tetapi tugas lebih besar ialah membina sebuah Malaysia di mana rakyat setiap kaum, agama dan latar belakang benar-benar rasa dihormati, diterima dan bangga menjadi rakyat Malaysia.

Baginda dalam satu kenyataan hari ini bertitah Jalur Gemilang bukan sekadar bendera yang dikibarkan ketika menyambut kemerdekaan, sebaliknya merupakan lambang sebuah negara yang dimiliki dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Walaupun kita berbeza bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang, Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) mengingatkan bahawa kita tetap rakyat sebuah negara yang sama. Bendera ini milik kita semua.

“Kita perlu bangga kerana ia adalah simbol perpaduan nasional,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin hari ini berkenan menitahkan agar Jalur Gemilang dikibarkan di Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor, Shah Alam bermula hari ini sehingga 17 September bersempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-69.

Menurut kenyataan itu, satu upacara menaikkan Jalur Gemilang telah berlangsung hari ini di Dataran Selangor sebagai simbol kecintaan kepada tanah air serta bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat.

Baginda bertitah semangat Hari Kemerdekaan juga harus diterjemahkan dengan mengenang dan menghargai jasa rakyat Malaysia yang sepanjang kehidupan mereka telah berusaha menyatukan masyarakat dan merapatkan jurang perbezaan.

Sultan Sharafuddin mahu generasi muda dididik untuk menghormati masyarakat, daripada agama, kaum dan budaya yang berbeza.

“Para pemimpin dan ahli politik pula hendaklah menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan, serta tidak menjadikan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat,” titah Baginda.

Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia menjadikan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia sebagai kesempatan untuk memperkukuh semula semangat perpaduan, solidariti, dan rasa saling hormat-menghormati.

“Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan dan bendera bukan sekadar untuk dikibarkan. Nilai sebenar kedua-duanya terletak pada kemampuan kita semua mempertahankan sebuah negara yang rakyatnya dapat hidup bersama dalam aman, saling menghormati dan bersatu padu,” menurut Baginda.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat