SEPANG, 26 Ogos – Hubungan udara antara Malaysia dan Indonesia terus diperkukuh apabila TransNusa Airlines melancarkan penerbangan terus sulung menghubungkan Lampung dengan Kuala Lumpur hari ini, sekali gus membuka laluan baharu bagi merancakkan sektor pelancongan kedua-dua negara.
Penerbangan dari Lapangan Terbang Radin Inten II, Lampung itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada jam 2.25 petang.
Penerbangan sulung berkenaan turut membawa Gabenor Lampung, Rahmat Mirzani Djausal sebagai tetamu kehormat.
Laluan baharu itu akan beroperasi tujuh kali seminggu menggunakan pesawat C909 yang mempunyai kapasiti 95 tempat duduk kelas ekonomi.
Tourism Malaysia dalam kenyataan berkata, pembukaan laluan berkenaan merupakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh kesalinghubungan serantau, khususnya menjelang kempen Visit Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).
Menurutnya, penerbangan terus itu bukan sahaja memudahkan pergerakan pelancong, malah dijangka membuka lebih banyak peluang dalam sektor perdagangan dan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Indonesia.
Majlis sambutan penerbangan sulung itu dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa Airlines, Datuk Bernard Francis dan Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Abd Hasman Abd Muhimin.
Lee berkata, penerbangan terus itu dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik antara pemain industri pelancongan kedua-dua negara, selain meningkatkan ketibaan pelawat dari Lampung ke Malaysia.
“Dengan masa perjalanan lebih singkat dan akses yang lebih mudah, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk menjadi destinasi pilihan pelancong dari Lampung yang mencari pelbagai pengalaman percutian,” katanya.
Antara tarikan yang ditawarkan Malaysia termasuk warisan budaya, khazanah alam semula jadi, gastronomi bertaraf dunia, destinasi beli-belah moden serta pelbagai tarikan mesra keluarga.
Sementara itu, Bernard berkata kejayaan membuka penerbangan berjadual Lampung-Kuala Lumpur menandakan satu lagi fasa pengembangan rangkaian TransNusa, selain memperkenalkan koridor penerbangan yang sebelum ini belum diterokai secara langsung.
Laluan itu juga dijangka memudahkan penduduk Lampung berkunjung ke Malaysia bagi tujuan percutian, membeli-belah, pelancongan perubatan, pendidikan, urusan perniagaan serta melawat keluarga dan rakan.
Pada masa sama, ia memberi pilihan lebih mudah kepada pelancong Malaysia untuk meneroka Lampung yang terkenal dengan tarikan alam semula jadi dan destinasi pantainya.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, Malaysia merekodkan 21.1 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 2.5 peratus berbanding 20.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu.



