KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan beliau pada asalnya mahu mengeluarkan sijil audit berteguran terhadap penyata kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun 2017 sebelum diminta oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menunggu bagi membolehkan perkara tersebut dibincangkan dalam Kabinet.
Menurut Madinah, keputusan awal untuk mengeluarkan sijil berteguran dibuat selepas pasukan Jabatan Audit Negara mengenal pasti isu berkaitan rosot nilai aset TH.
Beliau berkata, sebagai Ketua Audit Negara ketika itu, beliau merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk memaklumkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri memandangkan TH merupakan sebuah institusi penting negara.
“Saya kata, Yang Amat Berhormat, saya akan mengeluarkan sijil berteguran kepada penyata kewangan 2017 Lembaga Tabung Haji.
“(Beliau kata) wait, nanti dulu. I will discuss this in Cabinet.
“I said, sir, discuss in Cabinet, then you will inform me,” katanya ketika berucap dalam sebuah forum mengenai isu Tabung Haji.
Madinah berkata, sekiranya sijil berteguran itu dikeluarkan, ia berpotensi menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan pendeposit kerana sepanjang sejarah TH, institusi berkenaan tidak pernah menerima sijil audit berteguran.
Menurutnya, antara kebimbangan ketika itu ialah kemungkinan berlaku pengeluaran deposit secara besar-besaran atau ‘run’ terhadap TH.
Beliau berkata, jumlah wang pendeposit pada 2017 adalah sekitar RM70 bilion, sedangkan kecairan TH ketika itu menurut pengauditan yang dilakukan adalah sekitar RM11.6 bilion.
“Kalau berlaku a run on Tabung Haji, how is the government going to come up with RM70 billion atau RM68 point something billion?
“Apa akan berlaku pada Tabung Haji? Apa akan berlaku pada financial institutions?” soalnya.
Madinah berkata keadaan itu juga perlu dilihat dalam konteks kerajaan baharu ketika itu yang baru mengambil alih pentadbiran negara kira-kira dua hingga tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Selepas kembali ke pejabat dan berbincang bersama pasukan audit, Madinah berkata beliau akhirnya membuat keputusan mengeluarkan sijil audit bersih tetapi dengan penekanan perkara atau Emphasis of Matter (EOM).
Menurut beliau, EOM bukan bermaksud tidak ada masalah yang dibangkitkan dalam audit, sebaliknya ia memberi isyarat mengenai perkara serius yang perlu diberikan perhatian.
Madinah kemudian kembali bertemu Mahathir kira-kira dua hingga tiga minggu kemudian dan bertanya sama ada perkara tersebut telah dibincangkan dalam Kabinet.
Menurutnya, beliau dimaklumkan perkara itu masih belum sempat dibincangkan.
“Saya telah buat keputusan untuk mengeluarkan sijil bersih, maknanya tanpa teguran, tapi dengan emphasis of matter.
“Saya tengok beliau setuju. Smile,” katanya.
Madinah menjelaskan keputusan tersebut dibuat atas pertimbangan kepentingan negara termasuk bagi mengelakkan kebimbangan yang boleh mencetuskan pengeluaran deposit secara besar-besaran daripada TH.
“Sijil bersih tidak akan create the ripple and the concerns and the run on Tabung Haji.
“Kenapa? Again, safeguarding national interest. Government was only two or three months old.
“Tabung Haji satu institution yang kita kena perihara because of the fear of the run on Tabung Haji,” katanya.
Beliau turut mendedahkan telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri pada 19 Disember 2018 bagi menjelaskan apa yang berlaku, termasuk konsultasi dengan Mahathir serta sebab sijil bersih dengan EOM dikeluarkan.
Menurut Madinah, surat berkenaan turut menjadi sebahagian daripada dokumen dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.
Beliau menegaskan keputusan itu merupakan pertimbangan profesional yang perlu mengimbangi tanggungjawab menyatakan keadaan sebenar dalam laporan audit dengan keperluan melindungi sebuah institusi yang menjadi amanah rakyat.
“Satu langkah profesional yang saya telah ambil dan dimaklumkan kepada ketua kerajaan tentang keperluan mempertimbangkan antara dua tanggungjawab yang besar, iaitu tanggungjawab untuk berkata benar dalam laporan audit dan tanggungjawab untuk tidak membinasakan institusi yang menjadi amanah rakyat,” katanya.



