KUALA LUMPUR – Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menggesa kerajaan melakukan reformasi menyeluruh terhadap kebajikan penggiat seni termasuk mewujudkan mekanisme persaraan, perlindungan kesihatan, perumahan dan keselamatan sosial yang lebih tersusun.
Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, sudah tiba masanya kebajikan anakseni tidak lagi bergantung kepada bantuan secara ad hoc apabila mereka jatuh sakit, kehilangan pendapatan atau berdepan kesusahan hidup.
“Kebajikan tidak boleh terus bergantung kepada simpati. Ia perlu dibina melalui sebuah sistem,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jurey, PTVM menyambut baik kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Menara FINAS hari ini yang dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kepentingan industri kreatif dalam pembangunan negara.
Beliau berkata PTVM turut menghargai pengakuan Perdana Menteri bahawa sejarah industri seni negara pernah menyaksikan sebahagian seniman berdepan kesukaran akibat industri yang tidak terurus dan sistem yang tidak adil.
Justeru katanya, penegasan Anwar bahawa keadaan sedemikian tidak seharusnya berulang perlu diterjemahkan kepada tindakan dan pembaharuan konkrit.
Jurey berkata, beliau turut menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri melalui Setiausaha Sulit Kanan beliau ketika majlis perasmian Menara FINAS.
Memorandum itu antara lain mencadangkan penubuhan Sistem Kebajikan dan Persaraan Anakseni Negara yang lebih tersusun, mampan dan menyeluruh.
“Kami berharap Perdana Menteri dapat meneliti cadangan tersebut dan menunjukkan political will untuk membawa perubahan yang sudah lama dinantikan warga industri.
“Selepas puluhan tahun membangunkan industri ini, sudah sampai masanya Malaysia mempunyai satu sistem kebajikan anakseni yang lebih tersusun dan mampan,” katanya.
Menurutnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian serius ialah tabung masa hadapan atau mekanisme persaraan anakseni, perlindungan kesihatan, perumahan, keselamatan sosial serta jaringan perlindungan apabila seseorang penggiat seni tidak lagi mampu bekerja.
Dalam masa sama, Jurey mengingatkan reformasi industri kreatif tidak boleh tertumpu kepada kebajikan penggiat seni semata-mata tanpa menangani kelangsungan syarikat penerbitan.
Katanya, industri televisyen kini berdepan peningkatan kos penerbitan, peluang yang semakin mencabar serta perubahan pantas dalam model perniagaan.
“Tanpa syarikat penerbitan yang mampan, peluang pekerjaan kepada pelakon, pengarah, penulis, kru produksi dan ribuan tenaga kreatif turut terjejas,” katanya.
Beliau berkata pembaharuan industri perlu mengambil kira keseluruhan rantaian ekonomi, bermula daripada syarikat yang mencipta pekerjaan sehingga kebajikan individu yang bekerja dalam industri berkenaan.
PTVM berharap pembukaan Menara FINAS bukan sekadar melambangkan pembangunan infrastruktur baharu, sebaliknya menjadi permulaan kepada pembaharuan sistem industri kreatif negara.
“Kita bangga mempunyai sebuah menara baharu. Namun ukuran kejayaan sebenar bukanlah pada kemegahan bangunan semata-mata.
“Ukuran kejayaan sebenar ialah apabila manusia yang membangunkan industri ini mempunyai pekerjaan, pendapatan, perlindungan dan masa depan yang lebih terjamin.
“Industri tidak meminta belas ihsan. Industri mengharapkan sebuah sistem yang lebih adil, mampan dan keberanian politik untuk melaksanakannya,” katanya.



