KUALA LUMPUR -Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengetuai seramai 1,328 penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri sempena ulang tahun ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.
Fadhlina akan menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima darjah yang sama, Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris; Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream PETRONAS, Datuk Seri Sazali Hamzah serta Setiausaha Politik Kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.
Selain itu seramai 56 penerima individu dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut yang juga Setiausaha Kerja Umno, Datuk Wira Mohd Sumali Reduan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Wira M Kumar; Ketua Pengarah, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Wira Dr Mohd Azhar Abd Hamid dan Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar, lapor Harian Metro di Ayer Keroh pada Isnin.
Seramai 14 penerima dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk, antaranya Timbalan Speaker Sabah, Datuk Al Hambra Juhar; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Suria Kumar Durairaj Johnson Paul serta Panglima Divisyen Ketiga Infantri Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Sani S Omar.
Sebanyak 189 penerima dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian TV Media Prima, Datuk Azhari Muhiddin; penyanyi kelahiran Merlimau, Datuk Siti Roziana Zain atau Ziana Zain serta Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail.
Lima individu ditauliahkan Jaksa Pendamai (JP) manakala 106 penerima pula akan dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM).
Turut dianugerahkan ialah Bintang Cemerlang Melaka (BCM) kepada 151 penerima, diikuti 244 penerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 386 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 161 penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) serta lima penerima Pingat Khidmat Lama (PKL).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, berkata secara keseluruhan keseluruhannya, penganugerahan terbabit mencerminkan penghargaan negeri terhadap individu yang memberikan khidmat, sumbangan dan bakti dalam pelbagai bidang serta memainkan peranan dalam pembangunan serta kesejahteraan negeri.
Katanya, pelaksanaan Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 diselaraskan bersama semua agensi berkaitan serta mematuhi prosedur dan tatacara yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan keselesaan penerima serta tetamu sepanjang istiadat berlangsung.
“Istiadat akan dijalankan dalam tiga sesi bermula hari ini diikuti sesi kedua pada dan ketiga pada Rabu ini,” katanya.



