KUALA LUMPUR- Pensyarah yang sebelum ini menimbulkan kontroversi, Solehah Yaacob dilaporkan akan mencabar penamatan perkhidmatannya oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Solehah mendakwa institusi tersebut bersikap tidak profesional dalam keputusannya.
Bahkan Solehah berkata, beliau akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Perusahaan.
“Saya dipecat dalam tempoh 24 jam dan tidak dibenarkan buat rayuan
“UIAM mahu bayar saya (pampasan) bersamaan 6 bulan gaji, tetapi saya tolak,”katanya menurut FMT.
Awal hari ini, pihak universiti menyatakan bahawa Solehah, yang memegang ijazah doktor falsafah dalam linguistik bahasa Arab, dipecat pada April lepas dan bukan lagi profesor di universiti tersebut berkuat kuasa 27 April.
Pihak universiti turut menegaskan, Solehah tidak dibenarkan menggunakan sebarang gelaran atau jawatan yang dikaitkan dengan UIAM mahupun mendakwa mempunyai sebarang kaitan dengan institusi itu.
Solehah berkata, UIAM bersikap tidak profesional apabila menamatkan perkhidmatannya, terutamanya selepas beliau menerima anugerah Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sehari sebelumnya.
Penilaian MyRA, yang dibangunkan pada 2006, digunakan untuk menilai prestasi penyelidikan universiti-universiti di negara ini.
Solehah menjadi tumpuan umum berikutan beberapa pandangan kontroversi beliau mengenai sejarah dan tamadun Melayu.
Antara dakwaan yang dilaporkan pernah dibuatnya termasuk orang Rom belajar ilmu pembuatan kapal daripada orang Melayu dan mendapan bijih besi di Malaysia terhasil akibat hentaman meteor.



