ALOR GAJAH – Sebanyak 40 rumah masyarakat Orang Asli yang uzur di tujuh kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dicadang dibaik pulih menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri Melaka.
ADUN Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, keseluruhan kerja baik pulih itu dianggarkan menelan kos RM800,000 dengan perbelanjaan bagi setiap rumah tidak melebihi RM20,000.
Menurut beliau, permohonan dikemukakan secara berperingkat menerusi fasa pertama dan kedua bagi membantu keluarga yang tinggal di kediaman rosak serta memerlukan pembaikan segera.
“Usaha ini turut mendapat persetujuan kerajaan negeri bagi membolehkan peruntukan negeri digunakan untuk membaik pulih rumah masyarakat Orang Asli tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“JAKOA sememangnya mempunyai peruntukan, namun jumlahnya terhad. Bagi tahun ini, mereka hanya dapat membina dua rumah baharu di DUN Machap Jaya, manakala rumah yang dapat dibaik pulih juga tidak sampai lima,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRa) yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di DUN Machap Jaya, hari ini.
Dalam pada itu, Ngwe berkata, program berkenaan memberi manfaat kepada penduduk apabila Ketua Menteri turun padang untuk meninjau sendiri permasalahan rakyat di setiap lokasi.
Katanya, pendekatan tersebut membolehkan kerajaan negeri mengenal pasti keperluan sebenar penduduk dan memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang memerlukan, termasuk dalam aspek perumahan, pendidikan serta keperluan agensi dan komuniti setempat.



