KUALA LUMPUR – Amanah bersedia dengan mana-mana parti yang sanggup bekerjasama dengannya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata, kesanggupan kerjasama itu boleh dipertimbangkan asalkan tiada pendekatan menguasai dan mendominasi serta bersikap ‘big brother’.
“Kita sanggup kerjasama dengan mereka yang sanggup kerjasama dengan baik, jangan ada pendekatan ‘big brother’, nak menguasai dan mendominasi.
“Kita kalau bekerjasama maka mereka mesti sanggup untuk memberikan jumlah kerusi dan kedudukan yang sewajarnya.
“Yang sanggup didominasi adalah Pas. PH (Pakatan Harapan), kita tak sanggup, kalau ada 28 kerusi maka seharusnya 14-14,” katanya menurut BH di Kelantan pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesanggupan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRN Melaka yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini menyerahkan kepada sebuah jawatankuasa yang dibentuk untuk membincangkan soal kerjasama dengan BN dalam menghadapi PRN Melaka.
Rundingan itu diketuai Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Terdahulu, Khalid yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) hadir dalam majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di perkarangan pejabat KADA, Lundang, di Kota Bharu.



