KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) kini mengintai beberapa nama besar yang pernah berkhidmat dalam kerajaan termasuk bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk ditawarkan sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan PBM Ronnie Liu berkata, pihaknya mahu calon yang mempunyai ketegasan dalam soal integriti selain mempunyai rekod perkhidmatan serta pengalaman yang mampu memberi nilai tambah kepada parti.
Selain itu katanya, penyertaan tokoh berkenaan dilihat mampu memperkukuh PBM, khususnya daripada segi pengalaman dan keyakinan rakyat.
“Kita memang mahu calon yang ada ketegasan dalam soal integriti sebab ia menjadi sebahagian asas perjuangan kami.
“Sebab itu, PBM sangat mahukan Ayob Khan menyertai kita untuk PRU16 nanti,” katanya memetik Utusan.
Sebelum ini, Ayob Khan mendedahkan beliau menerima tawaran untuk menyertai arena politik, tetapi belum membuat sebarang keputusan mengenainya.
Beliau berkata, pertimbangan utama sama ada pembabitannya dalam politik akan memberi ruang kepadanya untuk melakukan perubahan atau sekadar terpaksa mengikut arus dan arahan pemimpin parti.
Sementara itu, menyentuh berhubung masa depan DAP dengan Pakatan Harapan (PH), Ronnie Liu yang juga bekas Setiausaha DAP Selangor berkata, terdapat kemungkinan parti tersebut akan bergerak solo dalam PRU16 nanti.
Katanya, DAP mempunyai kelebihan sekiranya memilih untuk bertanding secara solo disebabkan mereka mempunyai kekuatan sendiri.
“DAP mempunyai kelebihan jika bergerak solo kerana parti itu boleh membawa naratif bahawa mereka tidak terikat dengan mana-mana parti lain.
“Dengan cara itu, ada kemungkinan sebahagian pengundi Cina yang sebelum ini menjauh akan kembali menyokong DAP,” ujarnya.



