Oleh Zihan Zari
JITRA – Air mata kegembiraan dan sorakan bergema, memecah keheningan Dewan Sri Mas Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) apabila anak muda tempatan membuktikan bahawa minda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia kini setaraf dengan standard global.
POLIMAS bukan sahaja sukses menjadi tuan rumah, malah mempamerkan dominasi mutlak dengan menyapu bersih tempat pertama dalam tiga kategori utama pada Pertandingan dan Pameran Inovasi Antarabangsa (i-CompEx 2026) kali ke-14 yang telah melabuhkan tirainya dekat sini baru-baru ini.
Menariknya, Politeknik Premier ini turut memenangi Anugerah Khas Teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Gergasi inovasi POLIMAS mula mengganas menerusi projek genius ‘E-Heritage Architectural Smart Tourism’ yang bukan sahaja menjuarai Kategori A (Reka Bentuk Persekitaran Bina & Reka Bentuk Dalaman), malah memukau juri antarabangsa untuk membawa pulang Anugerah Teknologi Kecerdasan Buatan.
Taring POLIMAS sebagai ‘lubuk inovator’ terus berdarah apabila projek ‘Terrapave’ dinobatkan sebagai yang terbaik dalam Kategori B (Pembinaan & Bahan), disusuli kejayaan magis produk ‘KETGIS (Integrated Kedah Tourism Web)’ yang merangkul tempat pertama Kategori D (ICT & Multimedia).
Air Mata Kebanggaan Tuan Rumah
Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, tidak dapat menyembunyikan rasa sebak dan bangga atas kebangkitan luar biasa anak-anak didiknya di pentas yang disertai oleh jagoan dunia.
“Berdiri di sini hari ini, melihat ke sekeliling dewan, saya merasakan dua emosi yang sangat kuat iaitu kelegaan dan kebanggaan yang tidak terhingga.
“Sebenarnya, sejak beberapa hari lalu, kampus POLIMAS telah ‘berpesta’ dengan tenaga kreatif, idea-idea bernas, dan semangat luar biasa tanpa henti daripada anak-anak muda kita,” katanya penuh emosi ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Dr. Mhd Azmin menegaskan, i-CompEx 2026 bukan sekadar medan mengejar pingat, tetapi sebuah ‘jambatan’ konkrit yang menyatukan pelajar TVET dan penyelidik antarabangsa demi mencipta teknologi masa depan planet ini.
Dalam pada itu, Penyelidik utama Kategori A, Nor Azida Ishak, tidak dapat menyembunyikan rasa keterujaannya atas pengiktirafan dwi-anugerah tersebut.
“Kemenangan berganda ini, menjuarai Kategori A dan meraih Anugerah Khas AI adalah satu keajaiban yang amat menyedarkan kami tentang potensi besar warisan tempatan apabila digabungkan dengan teknologi moden.
“Projek E-Heritage Architectural Smart Tourism ini dibina dengan titisan keringat seluruh pasukan untuk memastikan seni bina sejarah kita tidak ditelan zaman.
“Apabila juri antarabangsa mengiktiraf integrasi kecerdasan buatan dalam projek ini, kami tahu air mata dan malam-malam tanpa tidur kami berbaloi. Ini membuktikan inovasi TVET POLIMAS mampu memukau dunia!”katanya.
Bagi Mohd Lutfi Mohd Khidir yang menerajui kumpulan penyelidik Kategori D, kemenangan tersebut merupakan satu pengiktirafan besar kepada keupayaan digitalisasi institusi TVET.
“Rasa bangga dan syukur ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila KETGIS diumumkan sebagai yang terbaik dalam Kategori ICT & Multimedia.
“Kami membangunkan web bersepadu ini dengan matlamat digitalisasi sektor pelancongan Kedah agar lebih dinamik di mata dunia. Bersaing sengit dengan 348 penyertaan dari dalam dan luar negara seperti Jerman dan Arab Saudi bukanlah tugas mudah.
“Kejayaan ini adalah bukti konkrit bahawa anak tempatan bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta penyelesaian digital bertaraf global!” ulas beliau penuh semangat.
TVET Bukan Lagi Kelas Kedua!
Majlis penutupan yang penuh prestij itu telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI) JPPKK, Dr. Hjh. Shahiza Dato’ Hj. Ahmad Zainuddin mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
“Landskap pendidikan tinggi negara kini sudah berubah total dan tidak boleh dipandang enteng. Apabila kita mengakhiri i-CompEx 2026, saya mahu mengingatkan semua tentang hala tuju pendidikan tinggi Malaysia.
“Seiring pelaksanaan Rangka Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, fokus kita kini adalah melahirkan pembina negara yang adaptif dan ‘future-ready’ (bersedia mendepani masa depan),”katanya.
Menurut beliau, tema ‘Shaping a Sustainable Future Through AI-Driven Innovation’ adalah refleksi tepat bahawa institusi TVET hari ini bukan lagi sekadar tempat latihan kemahiran asas, tetapi sudah berevolusi menjadi nadi utama inovasi dan pencipta penyelesaian industri global.
Dalam perkembangan sama, pertandingan gergasi ini hasil kerjasama POLIMAS dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mencatatkan sejarah apabila berjaya menarik 348 penyertaan sengit termasuk dari Arab Saudi, Kemboja, Libya, Thailand, Jerman, dan Indonesia.
Kejayaan besar ini menjadi isyarat jelas kepada dunia, anak tempatan kini sedia menggegarkan pasaran komersial global! – SUARA.TV



