KUALA LUMPUR – Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Khoo Poay Tiong menegaskan, DAP tidak pernah berpegang kepada jawatan demi kuasa, tetapi berpegang kepada prinsip.
Pengerusi DAP Melaka itu sekali gus menyanggah dakwaan Pemimpin Parti BERSAMA Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa DAP dilihat tidak akan mudah melepaskan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan selepas pernah ‘merasai’ nikmat kuasa melalui pelbagai jawatan yang disandang wakil parti itu.
“Rafizi berkata DAP tidak akan mudah melepaskan kuasa kerana sudah “merasai nikmat kuasa”. Hakikatnya, itu adalah salah faham terhadap DAP.
“Jika benar DAP hanya mengejar kuasa, maka apabila berlaku isu prinsip yang serius dalam pentadbiran negeri Melaka bulan lalu, DAP Melaka tidak akan memilih untuk berundur.
“DAP Melaka telah membuktikan melalui tindakan: apabila prinsip dan garis merah dilanggar, jawatan boleh dilepaskan, tetapi prinsip tidak boleh dikompromi.
“Kita boleh bekerjasama demi reformasi, demi rakyat dan demi masa depan negara. Tetapi kerjasama tidak bermakna kita tidak mempunyai pendirian dan bukan bermakna kita sanggup mengorbankan prinsip semata-mata untuk mempertahankan jawatan,” katanya.
Menurut Poay Tiong lagi, bagi seorang ahli politik, yang paling penting bukanlah jawatan yang disandang, tetapi keberanian untuk mempertahankan prinsip apabila tiba masanya.
“Jadi, jangan ukur DAP dengan logik bahawa kami “tidak sanggup melepaskan kuasa”.
“Apabila perlu berpegang teguh, kami akan berpegang teguh. Apabila tiba masanya untuk berundur, kami juga tidak akan teragak-agak,” katanya.
Rafizi mendakwa DAP dilihat tidak akan mudah melepaskan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan selepas pernah ‘merasai’ nikmat kuasa melalui pelbagai jawatan yang disandang wakil parti itu.
Bekas Menteri Ekonomi itu menyifatkan, keputusan DAP itu sudah dijangka kerana sukar bagi mana-mana parti politik yang sudah mempunyai kedudukan dalam kerajaan untuk meninggalkan kuasa yang dimiliki.
“DAP ada jawatan daripada peringkat Menteri penuh, Timbalan Menteri, kemudian Ketua Menteri, Exco, wakil rakyat, kemudian Ahli Majlis dan di bawah sana, beribu-ribu orang.
“Sekali sudah rasa nikmat kuasa, takkan mudah dilepaskan kalau di Pulau Pinang seseorang itu sudah menjadi Ahli Majlis, kamu fikir mudah untuk mereka lepaskan?
“Apa yang membuatkan kamu fikir dengan mudah mereka yang mengundi (dalam persidangan DAP) akan kata, jomlah kita rasa sudah tidak serasi dengan parti ini maka kita kena keluar memegang prinsip dan kita tidak akan lagi menjadi kerajaan ini,” katanya.



