KUALA LUMPUR- Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan, wang hibah yang telah diterima oleh para pendeposit pada tahun-tahun defisit tersebut adalah sah sebagai milik mereka.
Jelas beliau, wang tersebut tidak dikategorikan sebagai harta haram atau syubhah yang wajib dipulangkan kerana penerimaannya berasaskan akad hibah yang telah sempurna syarat penyerahannya.
Selain itu kata Fauwaz, mana-mana jemaah yang telah menunaikan ibadah haji menggunakan wang hibah pada tempoh berkenaan, ibadah haji mereka adalah sah dan tidak terjejas.
“Di samping itu, segala isu salah tadbir urus akaun, ketidakpatuhan akta dan pelaporan perakaunan kreatif menjadi beban tanggungan pihak pengurusan pada ketika itu, bukannya bebanan pendeposit atau orang awam yang tidak mengetahui realiti kedudukan kewangan dalaman.
“Skandal integriti ini wajib menjadi titik tolak pengislahan menyeluruh buat pengurusan institusi Islam di Malaysia. Peringatan Allah SWT cukup jelas mengenai integriti penjagaan amanah,” katanya.
Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata demikian merujuk pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 telah mencetuskan polemik dalam masyarakat.
“Dokumen tersebut menunjukkan terdapat beberapa isu kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan berskala besar.
“Realiti ini mengundang keraguan dalam kalangan jutaan pendeposit berhubung status hibah yang telah diterima oleh mereka sepanjang tempoh hibah diisytihar tidak mematuhi ketetapan Akta Tabung Haji 1995.
“RCI mengesahkan bahawa pengurusan TH pada ketika itu menggunakan kaedah Nilai Aset Boleh Direalisasikan (RAV) berbanding penyata kewangan bagi tujuan membolehkan pembayaran hibah.
“Tindakan ini dilakukan untuk melangkau peruntukan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) yang melarang sebarang pengisytiharan hibah sekiranya jumlah aset kurang daripada liabiliti.
“Ini memberi kesan yang besar. Sebagai contoh, melalui kaedah RAV, TH melaporkan keuntungan yang tidak mencerminkan keadaan sebenar sebanyak RM3.4 bilion bagi tahun kewangan 2017.
“Namun, sekiranya MFRS diguna pakai secara telus, TH sebenarnya menanggung kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion pada tahun tersebut,” katanya.



