PUTRAJAYA – DAP memutuskan pemimpin parti itu akan terus memegang jawatan dalam Kabinet selepas usul untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan mendapat sokongan majoriti pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 hari ini.
Bagaimanapun, hanya 2,106 atau 49.39 peratus daripada keseluruhan 4,264 perwakilan yang layak mengambil bahagian dalam undian tersebut.
Daripada 2,099 undi sah, seramai 1,857 perwakilan atau 88.47 peratus memilih supaya DAP kekal dalam kerajaan, manakala 242 perwakilan atau 11.53 peratus memilih untuk keluar. Tujuh kertas undi rosak.
Keputusan itu bermakna lima menteri dan tujuh timbalan menteri daripada DAP akan terus berada dalam pentadbiran sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menjelaskan persidangan berkenaan akan menjadi “referendum dalaman” bagi menentukan sama ada pemimpin DAP perlu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan.
Portal Scoop pada 20 Februari lalu melaporkan, perwakilan akan menentukan sama ada DAP perlu melepaskan jawatan Kabinet tetapi terus memberikan sokongan di Parlimen kepada Kerajaan MADANI.
“Jika perwakilan memutuskan supaya kita keluar daripada kerajaan, semua pemegang jawatan kerajaan daripada DAP akan meletakkan jawatan.
“Namun, kita akan terus menyokong Kerajaan MADANI sebagai Ahli Parlimen di bangku belakang,” Loke dilaporkan berkata.
Loke memberikan penjelasan hampir sama selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 3 Ogos lalu.
Menurut laporan Reuters, beliau menjelaskan undian itu membabitkan penyertaan DAP dalam pentadbiran, iaitu sama ada pemimpin parti kekal sebagai barisan hadapan kerajaan.
“Undian itu akan menentukan penyertaan kita dalam kerajaan, bermakna sama ada kita kekal sebagai barisan hadapan atau tidak,” katanya.
Laporan sama menyatakan keputusan meninggalkan jawatan kerajaan tidak akan menjejaskan sokongan DAP terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau keanggotaan parti itu dalam Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, usul yang dibentangkan kepada perwakilan hari ini menggunakan frasa lebih luas, iaitu:
“Persidangan ini memutuskan sama ada DAP akan kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat tempoh penggal Parlimen semasa.”
Perwakilan diberikan dua pilihan, iaitu “Kekal” atau “Keluar”, tanpa menyebut secara khusus mengenai peletakan jawatan menteri dan timbalan menteri DAP.
Dalam ucapan dasarnya, Loke bagaimanapun menjelaskan bahawa pilihan keluar bermaksud pemimpin DAP meninggalkan pentadbiran dan kembali menjadi penyokong kerajaan di bangku belakang.
“Atau memainkan peranan sebagai ‘pressure group’ dalam kerajaan, iaitu kembali kepada ‘backbencher’ sahaja,” katanya.
Meskipun usul kekal mendapat sokongan 88.47 peratus daripada undi sah, keputusan mempertahankan penyertaan DAP dalam Kabinet itu dibuat dengan penglibatan kurang separuh daripada keseluruhan perwakilan yang layak.



