KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan notis dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah subseksyem 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) kerana kesalahan menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen yang sah dalam operasi pada 12 dan 13 Ogos lalu sekitar ibu negara.
MOTAC dalam satu kenyataan semalam memaklumkan operasi berkenaan diadakan atas hasil risikan pegawai penguatkuasa MOTAC di samping aduan dan maklumat daripada orang awam, penggiat industri serta persatuan industri pelancongan.
“Risikan dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Kuala Lumpur (KLTGA) bagi mengesan beberapa individu yang disyaki menjalankan aktiviti pemanduan pelancong tanpa lesen yang sah turut dijalankan dengan tindakan penguatkuasaan bawah subseksyen 21 (1) telah diambil terhadap individu yang
menjalankan pemanduan pelancong tanpa lesen yang sah,” menurut kenyataan itu.
Sebanyak tiga lokasi pelancongan, sembilan premis perniagaan dan tiga individu telah diperiksa sepanjang tempoh operasi, katanya.
MOTAC menyatakan operasi berkenaan melibatkan pegawai penguatkuasa MOTAC dari ibu pejabat dan pejabat negeri di seluruh Malaysia.
“Operasi kali ini juga mengesan kesalahan lain seperti menggunakan kenderaan persendirian atau yang tidak dilesenkan bagi tujuan pengangkutan pelancong, gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan dan berurus niaga dengan pihak yang tidak berlesen kesemuanya merupakan kesalahan bawah akta berkenaan dan perundangan lain,” katanya.
Kenyataan MOTAC menyebut, kesalahan melibatkan kenderaan persendirian yang tidak dilesenkan akan ditangai dengan kerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Siasatan lanjut akan diteruskan sebelum tindakan perundangan diambil terhadap kesalahan yang melibatkan individu, entiti pemilik dan pihak yang berkaitan,” menurutnya.
MOTAC memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang tidak berlesen untuk tidak menyediakan perkhidmatan pelancongan meliputi pemanduan pelancong, pengangkutan, penginapan atau penganjuran aktiviti pelancongan sama ada dalam talian, media sosial, fizikal atau melalui medium lain.
“Pihak terlibat boleh dikompaun maksimum sehingga
RM250,000.00 atau jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000.00 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya di bawah Akta 482,” katanya.



