Pameran Printlab di Balai Seni Negara Cawangan Langkawi berlangsung sehingga 27 Feb tahun depan

Oleh Zihan Zari

LANGKAWI – Orang ramai dan peminat seni dijemput menghayati Pameran PrintLab: Melakar Kenangan, Mencetak Impian yang sedang berlangsung di Balai Seni Negara Cawangan Langkawi, Jalan Pelangi 2 Dayang Walk Commercial Square Kuah, dekat sini sehingga 27 Feb tahun depan.

Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata pameran ini dipersembahkan oleh Balai Seni Negara Cawangan Langkawi dengan kerjasama Chetak 17 bagi mengangkat seni cetak sebagai medium untuk merakam pengalaman, meneroka landskap serta menzahirkan tafsiran seniman terhadap ruang dan persekitaran.

“Pameran ini merupakan salah satu usaha Balai Seni Negara Cawangan Langkawi dalam memperkasa seni cetak sebagai sebahagian daripada medium seni visual, di samping
menyediakan ruang kepada para seniman untuk berkarya, bereksperimentasi dan berkongsi pengalaman pengkaryaan dengan masyarakat.

“Melalui kerjasama bersama Chetak 17, pameran ini menghimpunkan karya-karya seni cetak yang memperlihatkan kepelbagaian pendekatan, pemikiran serta bahasa visual para seniman dalam meneroka hubungan antara manusia, alam, budaya dan pengalaman kehidupan, ”kata kenyataan itu.

Menurutnya, pameran ini menampilkan karya daripada sembilan seniman yang merupakan ahli Chetak 17, iaitu Bayu Utomo Radjikin, Allahyarham Samsudin Wahab, Faizal Suhif, Haslin Ismail, Azam Aris, Fadhli Ariffin, Fadli Mokhtar, Luqman Yusry dan Iward Mahadi.

“Selain itu, pameran ini turut didedikasikan khas buat Allahyarham Samsudin Wahab, pengasas bersama Chetak 17 yang meninggal dunia pada 7 Mei 2026.

“Dedikasi beliau terhadap seni cetak serta kepercayaan berterusan terhadap semangat kolektif terus menjadi sumber inspirasi kepada komuniti seni cetak, ”katanya.

Katanya lagi, pameran ini merujuk kepada proses penghasilan seni cetak yang bermula dengan lakaran, lahir daripada pemerhatian, pengalaman dan memori. Lakaran tersebut kemudiannya diterjemahkan ke atas plat cetakan sebelum melalui proses cetakan bagi menghasilkan karya akhir.

“Dalam konteks yang lebih luas, proses ini mencerminkan bagaimana pengalaman dan pemerhatian terhadap sesuatu ruang dapat diterjemahkan melalui bahasa seni visual.

“Setiap lakaran menjadi titik permulaan kepada proses penerokaan, manakala hasil cetakan pula menjadi satu bentuk dokumentasi terhadap pengalaman yang telah dilalui oleh seseorang seniman.

“Selaras dengan peranan Balai Seni Negara Cawangan Langkawi sebagai ruang yang menyokong perkembangan seni visual di wilayah utara,”ujarnya.

Ujarnya lagi, turut dipersembahkan siri Printmaking In – Situ- Lakar Terus yang dihasilkan menerusi proses pengkaryaan secara langsung (on-site) di beberapa lokasi terpilih di sekitar Pulau Langkawi, termasuk Gunung Raya, Rumah Api Pantai Kok, Taman Lagenda, Pulau Pasir, Pulau Dangli, dan Air Terjun Temurun.

“Penghasilan siri ini turut disemarakkan dengan penglibatan artis-artis jemputan yang terdiri daripada Bayu Utomo Radjikin, Shahrin Zainurin, Faizal Suhif, Haslin Ismail, Azam Aris, Asraf Hidayat, Fadli Mokhtar, Fuad Pathil dan Iward Mahadi.

“Melalui pendekatan ini, para seniman membuat pemerhatian terhadap landskap, persekitaran dan suasana setempat sebelum menghasilkan lakaran berdasarkan pengalaman mereka di lokasi-lokasi tersebut.

“Proses pengkaryaan kemudiannya diteruskan dengan penghasilan plat dan karya seni cetak di Studio Seni Cetak Balai Seni Negara Langkawi, ”tambahnya.

Dalam perkembangan sama, sebagai pelengkap kepada pengisian pameran, Bengkel Seni Cetakan Viscoscity dan
Kolograf turut dianjurkan, bermula 6 hingga 8 Ogos lalu di bawah bimbingan Abdul Mansoor Ibrahim, seorang figura yang dikenali dalam dunia seni cetak tanah air menerusi pengalaman dan kepakarannya dalam bidang seni cetakan.

Bengkel ini menghimpunkan sembilan artis dari Langkawi bagi memperkukuh perkongsian ilmu dan kemahiran dalam bidang seni cetakan.

Karya yang dihasilkan sepanjang bengkel tersebut juga dipamerkan di ruang galeri Balai Seni Negara Langkawi sebagai sebahagian daripada pengisian pameran, sekali gus menonjolkan proses kreatif dan perkembangan seni cetak dalam kalangan penggiat seni tempatan.

Tambahnya lagi, pameran ini diharap dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih dekat proses dan pemikiran di sebalik penghasilan seni cetak, di samping memperkukuh apresiasi terhadap seni visual sebagai medium yang mampu merakam pengalaman dan menterjemahkan hubungan manusia dengan persekitaran.

Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara dan Balai Seni Negara Cawangan Langkawi atau layari www.artgallery.gov.my. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat