KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan baharu Arab Saudi, Riyadh Air menjalinkan kerjasama dengan jenama kartun terkenal antarabangsa Walt Disney untuk membawa watak Disney di dalam pesawat ketika penerbangan.
Timbalan Kanan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Riyadg Air, Osamah AlNuairser dalam satu kenyataan berkata kanak-kanak yang menaiki penerbangan bersama Riyadh Air akan menerima set peralatan perjalanan khas yang dihiasi watak-watak daripada siri Mickey & Friends Disney dengan pelbagai bentuk sesuai dengan kumpulan umur mereka.
“Riyadh Air berhasrat memberikan pengalaman yang luar biasa kepada semua penumpang, yang mencerminkan kemesraan, keprihatinan dan layanan istimewa Riyadh Air serta Kerajaan Arab Saudi.
“Ke mana pun mereka terbang, kami ingin membawa kegembiraan kepada setiap penumpang, muda mahupun yang berjiwa muda, dengan menyampaikan keajaiban cerita Disney sepanjang perjalanan mereka,” katanya.
Set peralatan berkenaan direka khas bersama pakar produk penerbangan dunia, Buzz.
Bagi bayi berusia 2 tahun ke bawah, mereka akan menerima beg kalis air dan boleh mengekalkan suhu sesuai untuk botol susu, apron lembut dan kad bergambar untuk merangsang deria.
“Mereka juga akan menerima patung lembut Mickey Mouse serta tisu basah,” menurut kenyataan berkenaan.
Bagi kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun, mereka akan menerima set mengandungi kertas lukisan, pensil warna dan teka-teki untuk bermain sambil belajar untuk penerbangan jarak dekat.
Untuk penerbangan jarak jauh, mereka akan menerima set berupa beg galas yang lembut yang cantik, kotak teka-teki bermagnet, pemandangan berwarna yang boleh didirikan serta tanda beg khas Disney yang boleh dikumpul.
Bagi kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun pula, mereka akan menerima set mengandungi kertas lukisan, pensil warna dan permainan meja yang boleh dimainkan seorang diri atau bersama rakan untuk penerbangan jarak dekat.
“Untuk jarak jauh, mereka akan menerima set berupa beg silang badan dengan pemegang fon telinga, pusingan permainan interaktif, buku nota, pen gel kecil serta gantungan khas Disney yang boleh dikumpul,” katanya.
Selain set peralatan, penumpang Riyadh Air boleh menonton filem, siri televisyen dan kandungan eksklusif daripada Disney semasa dalam penerbangan yang sesuai untuk semua peringkat umur.
“Waktu makan juga menjadi lebih seronok dengan sentuhan Disney. Setiap hidangan kanak-kanak disajikan di atas alas dulang berwarna-warni bergambar watak-watak Disney yang tidak licin, lengkap dengan peralatan makan yang bersaiz kecil dan selesa untuk genggaman tangan kanak-kanak,” katanya.
Riyadh Air adalah syarikat penerbangan bertaraf dunia yang dimiliki oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi yang ditubuhkan pada bulan Mac 2023.



