KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) mendesak Pakatan Harapan (PH) di semua negeri untuk menilai semula dinamika kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN).
Justeru dalam kenyataan bersama, Angkatan Muda Harapan menegaskan, PH tidak boleh dilihat menjadi “pendinding” kepada BN dalam pelbagai isu lampau yang akhirnya melemah dan memburukkan imej PH sendiri.
“AMH berpandangan bahawa perkembangan politik semasa menuntut PH melakukan penilaian semula terhadap bentuk, mekanisme dan masa depan kerjasama politik dengan BN.
“Kerjasama politik tidak boleh dibina hanya atas perkiraan angka. Ia mesti dibina atas kepercayaan, rasa hormat dan komitmen terhadap prinsip bersama.
“Oleh itu, AMH mendesak supaya PH di semua negeri diberikan ruang untuk menyatakan pandangan dan menilai semula dinamika kerjasama politik yang wujud di peringkat negeri masing-masing,” katanya.
Selain itu, agenda lain yang disepakati AMH ialah sayap muda PH itu mendesak kerajaan supaya menaikkan semula had kelayakan BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, khususnya bagi rakyat yang benar-benar bergantung kepada kenderaan persendirian sebagai keperluan utama untuk bekerja, berniaga dan mengurus keluarga.
“Mereka menggunakan kenderaan untuk pergi bekerja, menghantar anak ke sekolah, bergerak dari kawasan luar bandar ke bandar, menjalankan perniagaan kecil serta melaksanakan tanggungjawab keluarga setiap hari.
“Pada masa yang sama, AMH turut mendesak supaya mekanisme BUDI Madani Diesel diselaraskan dan dinilai semula agar pelaksanaannya lebih adil, mudah difahami serta benar-benar menepati kumpulan sasaran.
“Kerajaan perlu memastikan tidak berlaku keadaan di mana rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan tercicir hanya kerana kelemahan mekanisme, proses pendaftaran atau penetapan kelayakan,” tegas mereka.
Sementara itu, AMH juga menegaskan bahawa rakyat tidak mahu mendengar sekadar kenyataan bahawa sesuatu isu sedang “diperhatikan” atau “dalam siasatan”.
“Rakyat mahu melihat tindakan. Sebarang dakwaan berkaitan skandal, salah guna kuasa, penyelewengan, konflik kepentingan atau kelemahan tadbir urus yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat milik kerajaan atau mana-mana entiti yang menggunakan wang dan kepentingan awam mesti disiasat secara menyeluruh.
“Prinsipnya mudah, wang rakyat mesti dipertahankan. Tidak kira siapa yang terlibat, siapa yang berada di belakangnya dan apa pun kedudukan politiknya.
“AMH tidak mahu berlaku keadaan di mana slogan reformasi hanya keras terhadap pihak tertentu tetapi menjadi lunak apabila melibatkan individu atau kelompok yang mempunyai hubungan dengan kerajaan. Reformasi yang sebenar ialah apabila undang-undang dan penguatkuasaan tidak mengenal warna politik.
“Kerajaan juga perlu memperkukuh tadbir urus GLC melalui ketelusan kontrak, perolehan yang kompetitif, pengisytiharan konflik kepentingan, audit yang berkesan serta mekanisme pertanggungjawaban yang jelas,” ujarnya.
AMH terdiri daripada Ketua DAPSY Woo Kah Leong; Ketua AMK Kamil Munim dan Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda yang antara lain berpandangan, bahawa antara ukuran paling penting kepada kejayaan Era Madani ialah sejauh mana kerajaan mampu memperkukuhkan ruang demokrasi dan kebebasan rakyat untuk menyatakan pandangan secara aman.
“Akta Perhimpunan Aman mesti dilihat dalam semangat tersebut. Rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman. Rakyat mempunyai hak untuk mengkritik kerajaan.
“Rakyat mempunyai hak untuk menyatakan bantahan. Dan rakyat mempunyai hak untuk menuntut perubahan.Semua ini bukan ancaman kepada demokrasi.
“AMH menyeru Kerajaan Madani supaya terus memperkukuh reformasi terhadap Akta Perhimpunan Aman agar undang-undang tersebut benar-benar mencerminkan semangat demokrasi matang.
“Kita tidak mahu sebuah negara yang hanya membenarkan rakyat bersuara apabila suara itu selari dengan kerajaan. Era Madani mesti menjadi era di mana rakyat tidak takut untuk bersuara dan kerajaan tidak takut untuk mendengar,” katanya.
Agenda kelima yang dipersetujui bersama ialah, AMH mahu Kerajaan memberikan perhatian lebih serius kepada masa depan pendidikan dan mobiliti anak muda.
“Secara khusus, AMH mencadangkan supaya pelajar STPM yang memperoleh CGPA 4.0 serta pelajar STAM yang memperoleh keputusan Mumtaz diberikan satu bentuk keutamaan dalam proses pemilihan institusi pengajian tinggi awam.
“AMH mencadangkan agar pelajar yang mencapai tahap kecemerlangan tersebut diberikan peluang untuk mengemukakan tiga pilihan utama IPTA dan diberikan pertimbangan keutamaan untuk mendapatkan salah satu daripada pilihan tersebut, tertakluk kepada syarat program, kapasiti tempat dan keperluan bidang pengajian.
“AMH juga mahu kecemerlangan dalam aliran pendidikan Islam diberikan pengiktirafan yang sewajarnya,” ujarnya.
Menurut mereka lagi, lima perkara yang dikemukakan AMH ini mempunyai satu persamaan iaitu rakyat mahu melihat tindakan. Mereka mahu harga dan subsidi yang lebih adil.
“Mereka mahu wang rakyat dilindungi.Mereka mahu penguatkuasaan yang tidak memilih bulu.
“Mereka mahu politik yang berasaskan kepercayaan dan prinsip. AMH percaya bahawa Kerajaan Madani masih mempunyai ruang yang luas untuk memperkukuh mandatnya,” katanya.



