Wong Chen letak jawatan Ahli Parlimen Subang, berkuat kuasa 5 petang hari ini

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa pada pukul 5 petang hari ini, sekali gus mengosongkan kerusi Parlimen P.104 Subang.

Wong Chen berkata, surat peletakan jawatan itu sebenarnya telah diserahkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 5 Ogos lalu.

Menurutnya, notis lebih awal itu diberikan bagi membolehkan pegawai Parlimen mempunyai tempoh tiga hari bekerja untuk membuat persediaan berkaitan kekosongan kerusi berkenaan.

“Pada 5 Ogos, saya bertemu Speaker dan menyerahkan surat peletakan jawatan saya sebagai Ahli Parlimen, berkuat kuasa 10 Ogos pada pukul 5 petang.

“Ini bagi memberikan pegawai Parlimen tiga hari bekerja untuk membuat persediaan bagi kekosongan kerusi Parlimen Subang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, satu persefahaman turut dicapai bersama Speaker supaya perkara berhubung peletakan jawatan tersebut tidak didedahkan sehingga pukul 5 petang, 10 Ogos.

Berdasarkan surat bertarikh 5 Ogos yang dikemukakan kepada Johari, Wong Chen memaklumkan bahawa beliau secara sukarela meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan mengosongkan kerusi P.104 Subang.

Dalam surat berkenaan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Speaker serta seluruh warga Parlimen atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama sepanjang tiga penggal beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Susulan peletakan jawatan itu, Wong Chen berkata gelaran “Yang Berhormat” juga akan dikeluarkan daripada semua papan iklan, papan tanda serta surat-menyurat berkaitan dirinya menjelang bulan depan.

Beliau dijadual mengadakan sidang media pada Rabu ini, pukul 11 pagi bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai keputusannya.

Peletakan jawatan tersebut menyebabkan kerusi Parlimen Subang kini kosong dan membuka persoalan mengenai proses selanjutnya bagi mengisi kekosongan berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat