Jika DAP keluar, tidak usah mimpi jadi sebahagian kerajaan lagi masa depan – Ramasamy

KUALA LUMPUR – DAP perlu kekal dalam kerajaan kerana sebaik sahaja parti itu meninggalkan kerajaan, ia tidak lagi boleh mengimpikan untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan pada masa hadapan.

Pengerusi Urimai P Ramasamy berkata, dengan 40 Ahli Parlimen dan lima jawatan menteri dalam kerajaan, DAP sebenarnya mempunyai peluang untuk membawa perubahan demi kepentingan masyarakat bukan Melayu.

“Malangnya, DAP gagal dalam usaha tersebut dan kini sedang membayar harga atas kesilapan besar yang telah dilakukannya.

“Sama ada DAP terus kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal atau meninggalkan gabungan pemerintah, saya tidak fikir masyarakat bukan Melayu akan kembali menyokong parti itu dengan penuh keyakinan.

“Seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini, masalah DAP bukan sekadar soal sama ada parti itu berada dalam kerajaan atau tidak, tetapi lebih kepada bagaimana perubahan generasi, ideologi dan struktur telah menjejaskan cara parti itu berfungsi.

“Sekadar meninggalkan kerajaan tidak akan secara automatik mengubah DAP daripada sebuah parti yang akur kepada sebuah parti yang agresif dan lantang memperjuangkan kepentingan rakyat,” bidas Ramasamy.

Menurut bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi, DAP pernah mempunyai peluang, tetapi mensia-siakannya kerana terlalu terperangkap dalam kuasa, jawatan dan pelbagai keistimewaan yang datang bersamanya.

“Saya tidak fikir bekas penyokongnya akan memberikan parti itu satu lagi peluang,” ujarnya.

Ramasamy berkata demikian susulan, kira-kira 4,200 perwakilan DAP akan mengundi secara sulit bagi menentukan hala tuju masa depan parti pada 16 Ogos 2026.

Jelas beliau, para perwakilan akan menentukan sama ada DAP akan meninggalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau terus kekal di dalamnya.

“Usul tersebut akan dibentangkan oleh tidak lain daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang baru-baru ini tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri Chennah dalam pilihan raya Negeri Sembilan.

“Kongres DAP kali ini berlangsung pada masa yang amat sesuai untuk parti menentukan sama ada ia mahu terus menjadi sebahagian daripada kerajaan ataupun sebaliknya.

“DAP, yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah parti politik yang lantang bersuara, kini telah dijinakkan oleh konsesi yang dibuat terhadap kepentingan hegemoni Melayu.

“Dalam pelbagai isu yang menyentuh masyarakat Cina dan India, para pemimpin parti lebih memilih untuk berdiam diri daripada memperjuangkan isu-isu tersebut secara tegas dan berterus terang.

“Ramai pemerhati politik berpendapat bahawa DAP kini tidak banyak bezanya dengan MCA yang selama ini dicemuhnya,” bidasnya lagi.

Ramasamy berkata lagi, DAP telah dibelasah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kehilangan beberapa kerusi di Johor dan kehilangan kerajaan negeri di Negeri Sembilan.

“Parti itu kini berada di persimpangan politik yang kritikal. Justeru, kongres parti pada 16 Ogos dilihat sebagai peluang untuk DAP menebus kembali kesilapannya.

“Namun, saya cenderung untuk percaya bahawa para perwakilan DAP akan mengundi untuk terus kekal dalam kerajaan, walaupun dengan beberapa syarat atau batasan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat