KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kedah tidak menolak kemungkinan untuk membawa tuntutan semakan bayaran pajakan Pulau Pinang selepas mengambil alih Kerajaan Persekutuan, sekiranya tuntutan berkenaan terus tidak mendapat pertimbangan sewajarnya.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri kini sedang mempertimbangkan sama ada semua dokumen berkaitan tuntutan itu perlu dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dibincangkan sekarang atau selepas mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Kita tukar Kerajaan Persekutuan (Jika Kerajaan Persekutuan masih degil, tidak mahu bayar atau tidak mahu timbangkan permohonan Kedah).
“Ada pertimbangan yang sedang kita buat sama ada semua dokumen ini perlu diserahkan sekarang untuk dibincang atau kita serah kemudian setelah kita jadi Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azhar Ibrahim (Pas-Ayer Hitam) berhubung langkah yang perlu diambil sekiranya Kerajaan Persekutuan masih enggan mempertimbangkan tuntutan berkenaan, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, lapor Penerangan Darul Aman pada Isnin.
Menurut Sanusi, isu semakan bayaran pajakan Pulau Pinang bukan perkara baharu kerana sudah dibangkitkan Kerajaan Negeri sejak enam tahun lalu.
Katanya, sepanjang tempoh itu, belum ada maklum balas positif daripada Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan berkenaan.
“Bukanlah baru mula cakap perkara ini. Saya cakap tajuk ini pun enam tahun dah. Kalau mereka ada telinga untuk mendengar, ada akal untuk fikir, tentulah hal ini telah diterima sebagai bahan yang perlu dibincangkan.
“Tapi dalam respon sepanjang enam tahun, belum ada respon positif di pihak Kerajaan Persekutuan.
“Yang agak melompat kerajaan Pulau Pinang, saya pun tak tahu pasai apa, kita bukan usik dia pun. Kita bercakap tentang negeri kita, mungkin mereka kepanasan,” katanya.
Sanusi berkata, Kerajaan Negeri mahu tuntutan tersebut diputuskan berdasarkan undang-undang dan bukannya mengambil kira pihak yang terlibat.
Katanya, prinsip kedaulatan undang-undang perlu diletakkan di hadapan dan terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan.
“Saya harap apa yang dibawa berdasarkan undang-undang dapat diterima, oleh kerana kadang-kadang undang-undang di belakang orang, bukan di depan.
“Undang-undang patut di depan, tak kira siapa, tak kira bila. Bila ada kesalahan perlu diambil tindakan berdasarkan undang-undang.
“Isu ini pun sama, kita tengok orang tu siapa dulu, kalau tak boleh juga kita tukar dulu, baru kita bawa bentang,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Bau Wong Bau Ek (PKR-Sidam) sama ada tuntutan itu turut dibincangkan ketika Perikatan Nasional (PN) mentadbir Kerajaan Persekutuan selama 33 bulan, Sanusi berkata, beliau pernah membangkitkan perkara itu kepada Perdana Menteri ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, dokumen berkaitan belum lengkap pada masa tersebut menyebabkan tuntutan berkenaan belum dikemukakan secara rasmi.
“Saya ada sebut kepada Perdana Menteri (PM) pada masa itu. Oleh kerana pada masa itu dokumen belum siap yang macam kita ada sekarang ini, kita tak kemuka.
Bila dah siap baru boleh. Tapi kita tengok lah siapa yang jadi PM. Nampak macam PM duduk depan undang-undang, kita berhenti sekejap dulu,” katanya.
Sebelum itu, ketika menjawab soalan lisan Azhar berhubung pembayaran pajakan Pulau Pinang pada nilai lebih besar, Sanusi berkata, Kedah sudah melengkapkan kajian komprehensif bagi mengukuhkan tuntutan tersebut.
Katanya, Kerajaan Negeri telah melantik pasukan penyelidik terdiri daripada pakar sejarah dan perundangan untuk meneliti dokumen sejarah, perjanjian, rekod pembayaran serta kedudukan undang-undang dan Perlembagaan.
Kajian berkenaan telah siap dan laporan akhir sudah dibentangkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Adun serta Ahli Parlimen pada 15 April 2025.



