Pencerobohan nelayan asing sebabkan ketirisan sumber perikanan lebih RM800 juta

KUALA LUMPUR – Tindakan pencerobohan berterusan kapal nelayan negara asing ke dalam perairan Malaysia bukan sahaja mengancam kedaulatan maritim Malaysia, malah ia mengakibatkan negara mengalami masalah ketirisan sumber perikanan yang mencecah RM823.88 juta.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam satu kenyataan berkata data itu diperoleh hasil dapatan analisis jumlah tangkapan rasmi oleh DOF, Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Ia juga diperolehi dari data proksi berkaitan serta panduan yang dicadangkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

Angka kerugian besar itu berpunca dari aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia yang dilakukan oleh nelayan asing.

Menurut kenyataan itu, mereka menceroboh perairan negara untuk mengaut hasil laut yang bernilai tinggi.

DOF memaklumkan pihaknya belum mempunyai unjuran khusus mengenai kerugian mengikut spesies hidupan laut atau zon penangkapan seperti Zon B, Zon C dan Zon C2 yang terjejas akibat aktiviti pencerobohan berkenaan.

“Nilai kerugian yang boleh dikenal pasti secara langsung ketika ini hanya berdasarkan hasil tangkapan yang berjaya dirampas atau disita dalam operasi penguatkuasaan,” katanya.

DOF berkata nilai itu tidak menggambarkan keseluruhan kerugian sebenar kerana kesan terhadap populasi ikan, ekosistem marin dan sumber perikanan negara memerlukan kajian saintifik yang lebih menyeluruh.

Katanya, aktiviti IUU Fishing oleh vesel asing berpotensi menyebabkan kemusnahan habitat marin termasuk kawasan pembiakan dan pembesaran ikan yang menjadi nadi kepada industri perikanan negara.

Jika pencerobohan itu terus berlaku tanpa kawalan berkesan, bekalan sumber perikanan negara berisiko terjejas, sekali gus memberi tekanan kepada kelestarian sumber marin serta keterjaminan makanan negara pada masa hadapan.

“Berdasarkan corak pencerobohan yang direkodkan setakat ini, vesel penangkapan ikan asing didapati tidak beroperasi sehingga ke Zon A yang merangkumi kawasan pantai.

“Sehubungan itu, tiada impak langsung dikenal pasti terhadap aktiviti penangkapan ikan yang dijalankan nelayan pantai di kawasan itu.

“DOF menegaskan usaha memperkukuh penguatkuasaan, rondaan dan pemantauan di perairan negara akan terus dipertingkatkan bagi mengekang pencerobohan nelayan asing serta memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara dan diurus secara mampan,” katanya.

Menurut jabatan itu, perlindungan sumber marin bukan sekadar melibatkan kepentingan ekonomi negara, malah berkait rapat dengan kelangsungan industri perikanan tempatan dan jaminan bekalan makanan rakyat Malaysia.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat