Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Peminat teater berpeluang menyaksikan persembahan teater dua monodrama berjudul Sang Badut & Rupawan karya dan sutradara Mohd Zulkamal Ismail (Joe K.A.S) yang bakal berlangsung di Auditorium Jabatan Kesenian Negara (JKKN) Kedah, Pumpong dekat sini pada 30 dan 31 Oktober ini jam 8.45 malam.
Joe K.A.S berkata, persembahan monodrama malam itu menawarkan pengalaman seni yang sangat unik dan mendalam, pelakonnya mempunyai pengalaman luas dalam bidang teater merupakan ahli Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS).
“Kenapa penonton perlu menonton monodrama ini, kerana hanya ada seorang pelakon di atas pentas, seluruh fokus dan emosi penonton akan tertumpu sepenuhnya kepada watak tersebut yang mewujudkan hubungan emosi yang sangat intim dan magis antara pelakon dan penonton, ”ulasnya.
Ulasnya lagi, penonton boleh melihat bagaimana seorang pelakon mengawal pentas, menukar watak atau emosi, dan mengekalkan momentum cerita tanpa bantuan pelakon lain.
“Monodrama tidak bergantung kepada set pentas yang sarat atau kesan khas yang hebat, kekuatannya terletak pada skrip dan persembahan fizikal, membuktikan bahawa seni yang ringkas mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton.
“Menontonnya bukan sekadar hiburan, malah satu apresiasi seni yang menuntut fokus tinggi dan memberikan kepuasan emosi yang jarang didapati dalam teater konvensional,”katanya.
Katanya lagi, lakonan solo Sang Badut (Ajay) dan Rupawan (Schya Syukor) diiringi susunan prop dan set, membantu menguatkan lagi perkembangan lakonan yang membawa penonton menyelami konflik dalaman, dan falsafah hidup watak tersebut dengan lebih dekat.
“Hanya seorang pelakon akan melakonkan secara sendirian beberapa watak dari awal cerita sehingga tamat dalam pelbagai emosi bagi menyampaikan pergolakan dalaman yang berlaku.
“Sang Badut dan Rupawan dipilih untuk dipentaskan mempunyai tema berbeza, sangat menarik, sangat hebat aksinya yang menukar watak, suara, atau lapisan emosi secara langsung untuk menghidupkan jalan cerita.
“Penonton akan dibawa menyelusuri perjalanan kisah Sang Badut tentang maruah diri manakala Rupawan tentang kasih sayang,”tambahnya.
Tambahnya lagi, pementasan ini dianjurkan oleh PENTAS dengan kerjasama JKKN Kedah bagi memartabatkan seni teater dan memastikan pementasan teater di Kedah terus bergerak aktif. Selain itu, menarik minat pelajar-pelajar sekolah dan universiti yang mendalami dunia pementasan teater.
Orang ramai dan peminat seni teater yang mahu menonton pementasan dua monodrama Sang Badut & Rupawan boleh membuat tempahan awal dan sebarang pertanyaan di talian 017-5697045. Tempat terhad dan tiket ditawarkan berharga RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk pelajar. – SUARA.TV



