Formula UMNO-PAS Tidak Semestinya Sesuai Di Sabah – Salleh Said Keruak

CYBERJAYA : Penyatuan politik Melayu yang melibatkan UMNO dan PAS mungkin mempunyai tarikan dari sudut pilihan raya di Semenanjung Malaysia, namun formula sama tidak semestinya sesuai diterapkan di Sabah.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak, berkata realiti politik di Sabah dan Sarawak mempunyai perbezaan tersendiri yang perlu difahami sebelum sebarang strategi politik nasional dirangka.

Menurut beliau, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 jelas menunjukkan kekuatan politik berteraskan Sabah semakin mendapat tempat dalam kalangan pengundi.

GRS memenangi 29 daripada 73 kerusi, manakala Warisan memperoleh 25 kerusi. Secara keseluruhan, kedua-dua kekuatan politik berteraskan Sabah itu menguasai 54 kerusi, iaitu hampir tiga perempat daripada keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“BN pula hanya memenangi enam kerusi, PN satu kerusi dan PH mengalami kemerosotan besar dengan hanya memenangi satu daripada 20 kerusi yang ditandingi.

“Ini menunjukkan sentimen kenegerian, autonomi, pembangunan dan hak-hak Sabah semakin penting dalam menentukan pilihan pengundi,” katanya.

Salleh berkata perkembangan politik di Sarawak turut memberikan gambaran yang lebih jelas apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus mengukuhkan kedudukannya melalui pendekatan politik yang menekankan kepentingan Sarawak.

Malah, katanya, UMNO tidak pernah bertapak di Sarawak, sekali gus memperlihatkan bagaimana landskap politik di Malaysia Timur mempunyai dinamik tersendiri.

Sehubungan itu, beliau berpandangan sebarang persefahaman antara UMNO dan PAS yang mungkin berkesan di Semenanjung tidak semestinya boleh diterapkan secara langsung di Sabah.

“Ia malah boleh memberi kesan sebaliknya jika dilihat sebagai formula politik yang terlalu berpusatkan Semenanjung,” katanya.

Dalam masa sama, Salleh berkata UMNO Sabah seharusnya dilihat sebagai sebuah parti nasional yang memahami realiti tempatan serta bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan, khususnya GRS.

Katanya, pendekatan politik di Sabah perlu berasaskan beberapa perkara utama, termasuk kestabilan politik, pembangunan, hak-hak Sabah dan kepentingan rakyat negeri itu.

“Formulanya perlu jelas: kestabilan politik, pembangunan, hak-hak Sabah dan kepentingan Orang Sabah.

“Kita adalah satu negara, tetapi tidak semestinya memerlukan satu formula politik dan pilihan raya yang sama di setiap negeri,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat