KUALA LUMPUR – Ketua Penyelidik Ilham Centre Yusri Ibrahim berpendapat, jika DAP membuat keputusan keluar daripada Kabinet Kerajaan Madani sokongan terhadap mereka akan lebih merosot lagi selepas itu, bukan bertambah baik bahkan pengundi Cina khususnya akan lebih menyampah kepada mereka.
Menurut Yusri, jika orang Cina melihat tindakan-tindakan DAP nanti mentah dan tidak masak, tidak mustahil mereka akan meninggalkan DAP dan berpaling arah secara besar-besaran kepada MCA, terutama jika Barisan Nasional (BN) bergerak solo.
“DAP akan adakan persidangan 16 Ogos nanti untuk memutuskan sama ada kekal dalam Kerajaan Persekutuan atau sebaliknya.
Katanya asbab berada dalam kerajaan yang gagal deliver dengan baik reformasi-reformasi yang diharapkan, maka sokongan pengundi terhadap DAP semakin merosot, khususnya pengundi Cina.
“Sebab itu mereka berfikir untuk menilai semula kedudukan dalam Kabinet, keputusan akan dibuat nanti oleh 4000 perwakilan.
Pada hemat saya, jika DAP membuat keputusan keluar daripada kabinet kerajaan, sokongan terhadap mereka akan lebih merosot lagi selepas itu, bukan bertambah baik.
“Pengundi Cina khususnya akan lebih menyampah kepada mereka. Pengundi dah undi mereka dalam PRU15 sebelum ni, DAP dah berjaya jadi sebahagian kerajaan, ramai pimpinan dah jadi menteri dan timbalan menteri serta pelbagai jawatan pentadbiran lain.
“Kemudian dengan sebab itu dan sebab ini, alasan tu dan alasan ini, mereka nak keluar daripada kerajaan.
“Kemudian dalam PRU16 nanti nak minta rakyat, khususnya pengundi Cina undi mereka lagi supaya mereka boleh menang dan jadi kerajaan lagi? Kau rasa? soal beliau.
Sejak di Sabah, membawa ke Johor, kemudiannya ke Negeri Sembilan, Yusri memaklumkan badan penyelidik itu telah berkomunikasi dengan ramai pengundi etnik Cina.
“Sebenarnya orang Cina sudah tiada sentimental pun dengan DAP, sebahagiannya masih memberi undi sebab tiada alternatif yang sesuai.
“Pada masa sama sebahagiannya sudah mula beralih kepada parti lain, contohnya kepada Warisan di Sabah dan kembali menyokong MCA di Semenanjung.
“Jika tidak keluar kerajaan, apa pilihan DAP ada? Pengundi telah undi kamu, kamu telah berada dalam kerajaan, bersuara dan perjuanglah isu-isu yang masih berbangkit itu.
“Dengan kata lain, buatlah kerja sungguh-sungguh, pengundi dah bagi mandat. Sama ada isu cukai, subsidi, e-invois, penguatkuasaan lori, iklim perniagaan dan sebagainya yang dibangkitkan, sudah tentu lebih mudah disuarakan dalam kerajaan berbanding berada di luar.
“Semua orang tahu tidak mudah berada dalam kerajaan perpaduan yang berbeza ideologi untuk deliver political will masing-masing.
“Tapi berusahalah, pengundi nak tengok effort yang mencukupi, mereka dah bagi kepercayaan, mereka dah bagi undi seperti yang diminta sebelum ini.
“Jika putuskan keluar kerajaan 16 Ogos ini, kemudian bila PRU16 nanti kempen semula supaya diberi undi untuk menang dan jadi kerajaan sekali lagi, supaya dapat selesaikan isu-isu berbangkit tadi, agak-agak pengundi percaya? soal beliau.


