PAROI – Kerajaan akan mendedahkan keseluruhan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) tanpa memotong mana-mana aspek.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sementara itu pihak bertanggungjawab mesti siasat dan didakwa kalau perlu dan mengikut proses pendakwaan dan proses pengadilan mahkamah.
“Kita telah ambil keputusan untuk pendedahan keseluruhannya. Kita tidak akan memotong mana-mana aspek laporan ini
“Laporan itu sebenarnya pada 2014 bila Bank Negara beri amaran awal. Kemudian 2017 amaran berikutnya. Sehinggalah tempoh kajian dan kita juga telah minta supaya kembali dan siasatan memberi juga keterangan bagaimana selepas itu.
“Keadaan bertambah baik dan pertukaran pimpinan dan seterusnya.
“Tetapi saya rasa lebih baik umat Islam dan rakyat Malaysia diberi peluang untuk melihat keseluruhan itu. Yang penting ialah sebagai pengajaran, hal ini jangan berulang.
“Pihak bertanggungjawab mesti siasat dan didakwa kalau perlu, dan ikut proses pendakwaan dan proses pengadilan mahkamah,” kata Menteri Kewangan itu ketika ditemui media selepas Solat Jumaat di Masjid Paroi Jaya.
Anwar berkata demikian ketika ditanya adakah kerajaan akan mendedahkan nama-nama yang berkaitan dalam RCI Tabung Haji.
Sementara itu Anwar mengulas laporan RCI yang mendedahkan Tabung Haji memberi bonus dua hingga 13 bulan gaji kepada kakitangan.
“Bukan itu sahaja. Banyak sangat masalah yang berbangkit. Jadi kawan-kawan yang membaca akan tahu bagaimana mungkin syarikat rugi, laporan kata untung.
“Bagaimana mungkin ganjaran diberikan tanpa mempedulikan kedudukan institusi.
“Saya tentunya bila membaca, saya sendiri terkesan. Institusi agama, institusi Islam, kebanggaan orang-orang Melayu yang diberi amanah… Bagi saya, amanah itu dikhianati.
“Secara terperincinya biar kita baca dan dibahas dan kemudian tindakan diambil,” tegas Anwar.
Dalam perkembangan lain, Anwar menyatakan dalam konteks RCI Tabung Haji beliau dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai tekad yang sama untuk mendedahkan laporan ini.
“Dalam konteks laporan Tabung Haji, memang ada tekad bersama dan persetujuan untuk mendedahkan laporan ini.
“To be fair, Datuk Seri Zahid and colleagues supported the release of the entire report. So there is no question about continuing collaboration because Datuk Seri Zahid has been very positive in allowing this to be discussed. Of course, I did propose, but that proposal was supported and endorsed,” katanya.


